Majlis Tindakan Ekonomi ditubuhkan: PM

PUTRAJAYA: Majlis Tindakan Ekonomi ditubuhkan serta merta bagi merangka pelan untuk menghadapi cabaran ekonomi negara seperti kejatuhan harga minyak dunia dan juga penularan wabak Covid-19, demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, majlis tersebut akan dipengerusikan oleh beliau sendiri dan dianggotai Menteri Kanannya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan, Dato’ Tengku Zafrul Abdul Aziz, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed.

Katanya, beberapa pakar termasuk Gabenor Bank Negara, Dato’ Nor Shamsiah Mohd Yunus akan dipilih untuk menyertai Majlis Tindakan Ekonomi bagi membantu kerajaan menyelesaikan masalah berkenaan.

Advertisement

“Ini bagi saya satu tindakan segera untuk menunjukkan kepada negara bahawa kita tidak berlengah. Kita minta pihak yang berkepentingan untuk kemukakan apa saja cadangan untuk dimaklumkan kepada EACPAC, selain apa yang kita tahu, supaya kita cari jalan untuk selesaikan masalah ini.

“Ini termasuk untuk menentukan kumpulan bagi berhadapan masalah yang biasa disebut kumpulan B40,” ujarnya dalam satu sidang media selepas usai mempengerusikan Mesyuarat Kabinet, di Putrajaya, hari ini.

Majlis tersebut akan bersidang setiap minggu dengan mesyuarat julung kali akan diadakan pada Isnin minggu hadapan. Segala intipati yang dibicangkan pada mesyuarat itu akan dibawa kepada Masyuarat Kabinet pada Rabu seterusnya. – HARAKAHDAILY 11/3/2020