Meningkatkan kuasa beli dan membasmi kemiskinan (Solusi 2)

LATAR belakang

(1) Sebelum ini saya ada menulis mengenai penyelesaian Islam bagi masalah harga barang keperluan dan harga tanah yang melambung. [1]

InsyaAllah dalam artikel ini, kita akan mendetailkan sikit salah satu daripada masalah ekonomi hari ini ialah ‘purchasing power’ (kuasa beli) yang lemah.

(2) Faktor kuasa beli yang lemah, disebabkan duit ‘tak ada’. Kenapa duit tak ada? Permasalahan ini kita perlu lihat dari sudut mata yang lebih luas.

Kita perlu fikirkan isu ‘duit tak ada’ ini bukan hanya pada diri sendiri sahaja. Akan tetapi perlu lihat secara keseluruhan, bahawa 99 peratus rakyat Malaysia berhadapan dengan isu ini.

Advertisement

(3) Kenapa 99 peratus? Kerana kebiasaan frame Kapitalism di seluruh dunia, rata-rata mereka sangat menjaga periuk nasi 1 peratus rakyat mereka sahaja.

1 peratus inilah golongan yang memiliki kekayaan yang luar biasa di mana-mana negara pun. Secara umumnya disebabkan amalan Kronism yang terbeku.

(4) Menghapuskan Kronism, dan perbincangan mengenai integriti, kita akan bincangkan dalam artikel yang lain insyaAllah. Artikel ini akan fokuskan kepada purchasing power.

Secara umumnya, apabila duit semakin ‘hilang’, maka purchasing power semakin lemah. Apabila kuasa beli lemah, maka akan menyebabkan 99 peratus rakyat bakal merana kemiskinan.

Kekayaan terkumpul di bawah ketiak

(1) Punca permasalahan yang perlu kita faham ialah, mana pergi menghilangnya duit-duit itu? Ringkas ceritanya, duit-duit itu terlonggok di bawah ‘ketiak’ golongan korporat atau tauke besar.

Bilangan mereka secara purata di mana-mana negara sekitar 1 peratus. Segala kekayaan dan duit-duit tadi, ‘disimpan’ oleh mereka, menyebabkan duit yang ada pada tangan rakyat marhaen semakin sikit.

(2) Contohnya kita boleh lihat senarai orang terkaya di Malaysia yang disiarkan oleh Forbes [gambar] yang terbaru, bertarikh 5 Mac 2020

Forbes menyenaraikan aset yang dimiliki oleh Robert Kuok (terkaya di Malaysia) bernilai 11.5 Bilion Dollar. Quek Leng Chan 9.7 Dollar. Ananda Krishnan 5.9 Bilion Dollar.

(3) Billionaire atau Millioniaire di negara kita yang mempunyai kekayaan luar biasa ini membuatkan kekayaan itu hanya terbeku pada mereka sahaja, apatah lagi konsep zakat tidak diaplikasikan secara menyeluruh.

Contohnya kajian Dokumen Hijau (PAS) pada 2016 mencadangkan supaya cukai dikenakan ke atas Saham dan Simpanan Korporat [2] yang dimiliki oleh mereka.

(4) Apatah lagi ada dari kalangan mereka selama ini, memiliki lesen AP untuk barang-barang keperluan sehingga berlakunya monopoli [1] dan menyebabkan mereka ‘kaya seorang’.

Ada dari kalangan mereka yang mendapat projek-projek besar hasil daripada amalan Kronism ahli politik dan sebagainya. Itu isu yang sudah lepas. Cumanya yang saya tulis di sini ialah ‘penyelesaian masalah’.

Penyelesaian Islam

(1) Jumlah Saham dan Simpanan Korporat itu perlu dicairkan selaras dengan konsep percukaian dalam Islam yang dibahaskan dalam kitab Feqah.

Antaranya hadis Nabi S.A.W;

عن ابن عباس رضي الله عنهما أن النبي صلى الله عليه وسلم بعث معاذا رضي الله عنه إلى اليمن فقال ادعهم إلى شهادة أن لا إله إلا الله وأني رسول الله فإن هم أطاعوا لذلك فأعلمهم أن الله قد افترض عليهم خمس صلوات في كل يوم وليلة فإن هم أطاعوا لذلك فأعلمهم أن الله افترض عليهم صدقة في أموالهم تؤخذ من أغنيائهم وترد على فقرائهم

“Daripada Ibnu Abbas R.A, Sesungguhnya Nabi S.A.W mengutuskan Muaz R.A ke Yaman, lalu Baginda S.A.W bersabda:

“Serulah mereka kepada penyaksian bahawa Tiada Tuhan yang Disembah Melainkan Allah dan Aku (Nabi Muhammad S.A.W) adalah utusan Allah. Sekiranya mereka mentaati kamu dalam perkara itu, maka ajarkan mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka solat 5 waktu sehari semalam. Sekiranya mereka mentaati kamu dalam perkara tersebut, maka ajarkan mereka bahawa Allah telah mewajibkan zakat pada harta mereka yang dipungut dari orang-orang kaya mereka lalu dikembalikan kepada orang-orang miskin mereka.”.


(Muttafaq Alaih)

(2) Saham dan Simpanan Korporat ini tidak pernah dikenakan cukai oleh kerajaan BN, manakala Kerajaan PH saya tak tahu dikutip atau tidak.

Hasil Cukai Saham dan Simpanan Korporat yang dikenakan mengikut cara kutipan zakat, ialah sebanyak RM51.5 bilion. Duit ini perlu dicairkan kepada rakyat.

(3) Iaitu dicadangkan supaya diambil sebanyak 25 peratus daripada jumlah RM51.5 bilion itu, iaitu RM12.8 bilion diagihkan secara direct kepada fakir miskin.

Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) yang merujuk laporan isi rumah 2018 mendapati, jumlah miskin relatif meningkat 1.54 juta pada 2016 berbanding 1.08 juta pada 1995 [3]

RM12.8 bilion dibahagikan kepada 1.54 juta orang miskin, maka seorang akan memperolehi RM8312 (setahun) sekiranya diagihkan pada 2016. Jauh lebih tinggi daripada BR1M pada tahun itu.

Mencairkan kekayaan yang terbeku

(1) Apabila amaun ini turun kepada seluruh rakyat yang miskin secara direct, tanpa karenah birokrasi dan ketirisan, secara tak langsung akan menaikkan kuasa beli.

Mudah difahami, konsep ekonomi ini umpama roda. Ia perlu dipusingkan. Sekiranya roda itu terlekat, menyebabkan duit yang ‘tersimpan’ di atas, tidak boleh dicairkan ke bawah.

Firman Allah S.W.T;

مَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ ۚ وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (7)

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu. Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (S.A.W) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksaNya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya).”

(al-Hasyr: 7)

(2) Ayat ini akan dihuraikan dalam artikel yang lain insyaAllah lebih terperinci. Bahasa mudah yang boleh difahami ialah hasil negara perlu diagihkan supaya tidak terbeku di kalangan orang kaya.

Apabila diagihkan kepada rakyat atas nama zakat dan sebagainya, maka ia akan menaikkan kuasa beli. Para peniaga akan semakin laku jualannya dan mendapat untung yang besar.

Keuntungan tersebut bukan dibolot kesemuanya oleh peniaga itu, tapi dia perlu membayar zakat yang merupakan sistem percukaian dalam Islam

Roda putaran ekonomi

(1) Apabila kuasa beli meningkat, rakyat mampu membeli barangan yang dijual. Manakala peniaga akan bertambah hasil jualan, dan bertambah asetnya.

Peniaga ini perlu keluarkan zakat terhadap sebahagian hartanya, dan diberikan kepada asnaf atau dipusatkan. Semakin banyak hasil perniagaannya semakin tinggi kadar bayaran zakatnya.

(2) Maka, apabila kutipan zakat semakin banyak, kerajaan wajib mengagihkan zakat tersebut kepada fakir miskin (asnaf). Dengan agihan tersebut akan meningkatkan kembali kuasa beli.

Begitulah ia berputar sepertimana roda. Maka, semua rakyat akan menikmati kehidupan yang tenteram, dengan kemampuan untuk membeli barangan keperluan.

(3) Pusingan ini akan menyelesaikan isu kemiskinan yang melanda mana-mana negara, khususnya negara-negara yang mengamalkan Kapitalism.

Realiti hari ini, roda kitaran ekonomi itu tersekat (selak). Kekayaan terhimpun di bawah ketiak golongan 1 peratus, dan terbeku di situ. Kekayaan tersebut tidak dicairkan.

(4) Apatah lagi kerajaan-kerajaan sebelum ini yang ghairah mengenakan cukai demi cukai terhadap rakyat, yang mengkayakan orang kaya, dan membebankan orang miskin.

Sedangkan mengikut cara Islam, cukai seperti yang saya nyatakan tadi sepatutnya dikenakan kepada orang-orang kaya, dan diagihkan kepada orang-orang miskin.

[1] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=3538529126188822&id=100000953077134

[2] https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2724846920879059&id=312456128784829

[3] https://www.msn.com/en-my/news/national/rakyat-malaysia-semakin-miskin/ar-AADnCAl

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 11/3/2020