Muslimat PAS rai peniagawati

PERMATANG PAUH: Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga Muslimat PAS Kawasan Permatang Pauh, telah mengadakan program meraikan golongan wanita bertempat di Pasar Awam Penanti, di sini kelmarin dahulu.

Advertisement

Bertemakan Wanita  Keringatmu Dihargai, program bertujuan memberi penghargaan kepada para peniaga wanita atau peniagawati atas jasa dan pengorbanan mereka dalam membantu meningkatkan ekonomi dan institusi keluarga.

“Wanita selain sebagai isteri dan ibu, turut menyumbang kepada kesejahteraan dalam pembangunan sesebuah negara melalui pelbagai bidang antaranya ekonomi, pendidikan dan sosial,” kata Ketua Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga, Amni Shafiee 

Semasa kunjungan ke gerai-gerai peniagawati ini, para petugas Muslimat selain memberi ucapan penghargaan Selamat Hari Wanita, turut beramah mesra serta menyampaikan cenderahati bunga dan tuala kepada mereka.

Turut hadir meraikan para peniagawati ini ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Permatang Pauh, Ustazah Norhapiza Saad, serta ahli jawatankuasanya.

Beliau turut menekankan keprihatinan ini juga merupakan satu dakwah untuk mendekati dan menyantuni masyarakat sekitar khususnya wanita yang sentiasa berdepan dengan pelbagai tekanan, cabaran dan dugaan.

Amni juga menegaskan, golongan wanita akan sentiasa disantuni dan diutamakan oleh Lajnah Pembangunan Wanita dan Keluarga melalui pelbagai program kesedaran berkenaan kesihatan, ekonomi dan keibubapaan yang sedang dirancang. – HARAKAHDAILY 11/3/2020