Terus bekerja di bawah naungan nikmat Allah

TIGA nikmat dan kelebihan politik Islam dalam negara kita yang harus didendang dan disyukuri:

Advertisement


Para ulamak yang benar dan faqih begitu diterima dan dihormati oleh rakyat sehingga mereka berjaya memecahkan dan mengalahkan perancangan dan tipudaya musuh Islam yang sentiasa cuba merosakkan pemikiran umat Islam dengan pelbagai nama dan jenama Islam yang palsu dan batil.


Maka kita melihat pandangan, nasihat dan peringatan para ulamak kita sentiasa berada di laluan arus perdana media untuk dipekai dan didengari oleh rakyat.


Para profesional daripada pelbagai bidang dan kepakaran semakin dilihat berada bersama dengan para ulamak. Ia mencetuskan sinergi yang amat berkuasa dan pintar untuk terus menarik sokongan umat Islam kepada politik Islam dan rekayasa pembaharuannya dalam sistem pemerintahan negara.


Ia nyata berjaya mengambil alih kedudukan di hadapan mengatasi sistem dan budaya politik lama yang agak renggang daripada pengajaran agama Islam.


Fiqh penglibatan warganegara bukan Islam dalam pentabiran Islam terus berkembang dan dipacu dengan baik.

Ia adalah penawar amat penting di dalam menghadapi peluru Islamophobia yang dilancarkan oleh musuh Islam bagi menjauhkan Islam daripada masyarakat bukan Islam.


Ia secara berdikit-dikit akan mengubah ketakutan kepada rasa aman dan kekeliruan kepada keyakinan di kalangan bukan Islam.


Api panas bakaran DAP dalam negara yang digunakan untuk mengurung masyarakat bukan Islam daripada menikmati kehadiran PAS dalam politik negara semakin padam dijirus oleh kefahaman dan dakwah berterusan para pendakwah Islam di medan politik.


Itulah tiga nikmat Allah yang harus disyukuri, didendangi dan terus dikembangkan. Ia hadir ceria di dalam politik negara kita ketika ianya masih suram di negara-negara umat Islam yang lain.


PAS kini di Putrajaya. Rafak kesyukuran kepada Allah yang maha kaya adalah 24 jam. Nikmat di atas nikmat akan bertambah-tambah jika kita terus mendendangkannya dan mensyukurinya sentiasa.


Selamat bekerja di jalan Allah


USTAZ NIK MOHAMAD ABDUH NIK ABDUL AZIZ

Ahli Parlimen Bachok
HARAKAHDAILY 11/3/2020