Harga minyak jatuh: Tangani ekosistem ekonomi

LAJNAH Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan PAS Pusat mengikuti dengan teliti perkembangan iklim ekonomi Malaysia sekarang terutama kejatuhan harga minyak. Semasa artikel ini ditulis harga minyak WTI berlegar sekitar USD35 setong. Ianya jatuh sebanyak 25 peratus dalam tempoh seminggu (Harga minyak Brent jatuh 26 peratus dalam tempoh seminggu).

Advertisement

Daripada kajian para penganalisa, kejatuhan harga minyak sememangnya memberi kesan yang substantif kepada ekonomi Malaysia, yang mana hampir 40 peratus daripadanya bergantung kepada hasil petroleum. Menurut Perbendaharaan Malaysia setiap kejatuhan USD1 setong harga minyak dunia akan memberi kesan sebanyak RM300 juta kepada ekonomi Malaysia.

Justeru kami berpandangan bagi menangani tekanan situasi sekarang, keseluruhan ekosistem ekonomi Malaysia perlu bertindakbalas ke arah pembetulan. Ini bagi memastikan wujud semula keseimbangan dalam putaran ekonomi dan mengelakkan berlaku herotan. Ianya juga bagi memastikan pulangan dalam setiap aktiviti ekonomi Malaysia tidak berkurangan (diminishing return), malah kekal efisien.

Antara langkah-langkah yang kami syorkan adalah:

1.    Langkah pengoptimuman kos perlu dilakukan dengan komprehensif di semua peringkat, samada di pihak penawaran dan juga permintaan. Semua pemain industri dan pengguna harus berjimat cermat untuk mengelakkan pembaziran sumber.

Semua pihak juga perlu menyemak semula struktur kos mereka bagi memastikan harga boleh diturunkan dengan penurunan harga minyak. Penguatkuasaan di pihak Kerajaan perlu dilakukan bagi memastikan ini berlaku.

Pembaziran dan penyelewengan juga harus dibendung ke peringkat paling minima hingga kepada pembasmian. Mengikut data Bank Dunia rasuah boleh memberi kesan sehingga 30 peratus daripada Keluar Dalam Negara Kasar (KDNK) sesebuah negara manakala kebocoran cukai pula boleh memberi kesan sehingga 20 peratus KDNK.

2.    Keseluruhan sistem cukai Malaysia juga perlu disemak dan dirombak semula bagi meningkatkan hasil kerajaan bagi mengimbangi harga minyak yang semakin turun. Sistem cukai yang cekap adalah penting untuk memastikan tiada kebocoran hasil, terutama dalam sektor ekonomi digital yang masih tidak mempunyai struktur cukai yang khusus.

3.    Kadar produktiviti negara juga perlu ditingkatkan bagi memastikan pengeluaran kekal optimum walaupun dalam suasana paras harga yang rendah. Ini akan memastikan penawaran yang mencukupi bagi mengimbangi permintaan, yang seterusnya akan mengoptimumkan paras harga dan mengawal tekanan inflasi.

MAZLI NOOR
Timbalan Pengerusi 2
Lajnah Ekonomi, Hartanah & Pembangunan Usahawan PAS Pusat – HARAKAHDAILY 12/3/2020