SELEPAS pengumuman khas Jemaah Menteri Persekutuan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam secara umum ia dilihat cukup menarik kerana mempunyai perspektif baru dalam senario politik dan pentadbiran negara.
Pengumuman Perdana Menteri ke-8 itu melangkaui jangkaan umum kerana ramalan beberapa penganalisa politik dan ahli akademik sebelum ini ternyata jauh meleset.
Keunikan Jemaah Menteri hasil Kerajaan campuran dari parti kerajaan BERSATU, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan pembangkang iaitu parti Barisan Nasional, PAS dan Parti Bangsa Sabah (PBS).
Kini semua persoalan yang jadi teka-teki terjawab apabila Perdana Menteri membariskan senarai nama Jemaah Menteri yang berbeza dengan Jemaah Menteri sebelum ini. Beberapa perkara menarik dari pengumuman itu ialah;
Pertama, Kabinet Muhyiddin telah memecah tradisi apabila buat kali pertama jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) ditiadakan sebaliknya melantik 4 Menteri kanan yang akan membantu menjalankan tugas termasuk mempengerusikan mesyuarat Kabinet ketika ketiadaan beliau di dalam negara.
Empat Menteri kanan itu ialah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memegang portfolio Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Menteri Pertahanan), Datuk Seri Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya) dan Dr Mohd Radzi Md Jidin (Menteri Pendidikan).
Ketiadaan jawatan TPM bukan jadi masalah kerana pelantikan jawatan nombor dua negara dalam Kabinet tidak termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kedua, Perdana Menteri menggabungkan kaedah ‘umarak’ (pemimpin) dan ‘ulamak’ (ahli agama) iaitu bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri diberi kepercayaan dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Pelantikan itu bersesuaian kerana beliau dipandang tinggi oleh masyarakat Islam dan bukan Islam kerana sikap terbuka semasa sambutan Tahun Baharu Cina yang menghantar buah limau ke rumah jirannya walaupun berbeza agama.
Dalam konteks pelantikan Dr Zulkifli beberapa polisi penting memastikan kesejahteraan umat Islam kuat berpegang teguh kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah secara tuntas dan membendung kecenderungan fahaman yang tidak selari dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Ketiga, Politik negara melakar sejarah apabila PAS kembali dalam barisan Kabinet Persekutuan setelah 43 tahun menjadi pembangkang.
Kini kali kedua PAS menganggotai Kerajaan peringkat Persekutuan diwakili oleh 3 pemimpin kanan sebagai Menteri penuh manakala 5 dilantik sebagai Timbalan Menteri.
Mereka yang dilantik ialah Menteri Alam Sekitar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Khairudin Aman Razali
Timbalan Menteri ialah Hj Awang Solehuddin Hashim (Sumber Manusia), Datuk Siti Zailah Mohd Yusof (Pembangunan Wanita Dan Keluarga), Ahmad Marzuk Shaary (JPM-Hal Ehwal Agama) dan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pertanian dan Industri Makanan).
Dengan 3 jawatan Menteri penuh sudah tentu PAS cuba membuktikan keupayaan pemimpinnya bukan sekadar memerintah beberapa buah negeri di pantai Timur tetapi parti itu boleh disandarkan kepercayaan rakyat sebagai pemerintah.
Kali terakhir PAS berada dalam Kabinet pada Januari 1973 hingga November 1977 semasa Presiden PAS ketika itu Datuk Asri Muda menyandang Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah.
Keempat, menjelma semula nama Kementerian Perpaduan Negara dalam Kabinet Muhyiddin di mana beliau mengesan Kementerian tersebut perlu dalam menangani isu-isu perpaduan dan jurang perbezaan antara kaum yang melebar disebabkan fahaman politik dalam kalangan masyarakat.
Menterinya Datuk Halimah Mohamad Sadique akan menggalas cabaran besar memulihkan perpaduan di kalangan masyarakat dan penyokong parti dengan tidak mengenepikan nilai-nilai murni serta menerap semangat patriotik bagi mengukuh jati diri rakyat negara ini.
Kementerian Perpaduan kembali semula diwujudkan setelah 3 kali dimansuh. Kali pertama diwujud pada tahun 1972 hingga 1974, pada tahun 1999 hingga 2004 dan sekali lagi pada tahun 2008 hingga 2009.
Semasa ketiadaan Kementerian itu agensi yang terbabit iaitu Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional telah beberapa kali diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Harapan Perdana Menteri supaya Kabinetnya yang dibarisi tokoh politik berpengalaman, Teknokrat dan individu berkepakaran bidang tertentu dapat memulakan tugas dengan berkesan serta mengenepikan perbezaan pegangan politik demi kemakmuran negara.
Oleh: ABD KARIM MD YATIM – HARAKAHDAILY 12/3/2020
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.