Kejatuhan Kerajaan PH sudah lama dijangka

TAMBUN: Perikatan Nasional tidak pernah cuba untuk merompak atau menjatuhkan Kerajaan Persekutuan sebelum ini sebaliknya Pakatan Harapan yang menyelerakkan hubungan sesama mereka dan meruntuhkan kerajaan sendiri.

Advertisement

Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said berkata demikian dalam ucapan aluannya dalam program Bicara ‘Baldatun Toyyibatun Warobbun Ghofur’ di Markaz Tarbiah PAS Kawasan Tambun, Taman Meru, di sini baru-baru ini.

“Parti BERSATU tidak tahan dengan DAP, mereka (DAP) membawa pelbagai masalah kerakyatan, tanah dan lain-lain. Dan hal ini, PAS memang sudah jangka bahawa Kerajaan PH ini tidak akan bertahan lama,” jelas beliau.

Dalam ucapannya lagi, beliau turut menegaskan bahawa ahli PAS mesti menghayati kemenangan ini dengan cara yang betul iaitu menjadi contoh sebagai kerajaan terbaik dan tidak mengejek pihak lawan di mana kini sudah tumbang.

“Ahli PAS serta pendokong perjuangan Islam mesti menghayati kemenangan ini dengan cara yang betul, iaitu mesti bekerja terus demi rakyat di samping meneruskan program munajat dan solat hajat. Itulah cara kita yang merupakan sebuah jemaah Islam.

“Para penyokong PAS tidak perlu menyerang pihak lawan, (malah) kita mesti mengaplikasikan minda pemerintah untuk menerangkan dasar kerajaan kepada rakyat serta menunjukkan contoh yang baik,” ujarnya.

Ustaz Salleh turut berpesan kepada seluruh ahli PAS Tambun agar tidak sombong dengan kemenangan yang diraih kini, sebaliknya harus bekerja seperti biasa iaitu bertekad untuk melaksanakan tanggungjawab sebaiknya.

Program bicara anjuran PAS Taman Meru 2C tersebut turut menampilkan Ketua Penerangan Ulamak PAS Tambun, Syed Mohd Bakri Syed Ishak (PU Syed), Penceramah bebas, Ustaz Sharkhawi Ishak yang lebih dikenali dengan gelaran, Ustaz Rempit. – HARAKAHDAILY 12/3/2020