Khalid Samad dinasihat henti kesombongan

SAYA sempat mendengar video temu bual dengan Khalid Samad bekas Menteri Wilayah. Bermula dengan pertanyaan apa pandangan beliau terhadap statement Tuan Guru Abdul Hadi (TGHH) yang mengatakan Kerajaan PN yang dibentuk itu sebagai model politik Islam. Dengan nada ketawa yang penuh sinis beliau membidasnya dengan mengatakan Presiden PAS TGHH sudah tak center (tak berapa betul). Sekali lagi dengan nada ketawa sinis beliau mengatakan kalau mahu mempelajari politik Islam hendaklah menjauhi PAS.

Sejenak saya memerhatikan kata-kata dan watak beliau. Saya dapat meramalkan betapa sakitnya hati beliau dengan kehilangan jawatan Menteri Wilayah dan dengan tersembamnya Kerajaan PH menyembah bumi. Nyilu dan pedihnya hati masih terasa sakitnya. Saya yakin jika beliau tidak bertaubat dan meminta maaf kepada TGHH atas penghinaan itu, beliau akan menerima akibat yang lebih buruk dari hanya sebuah kekalahan. Berbuat dosa dalam keadaan ketawa dan sombong adalah kebencian yang sangat besar di sisi Allah.

Advertisement

Saya teringat pesan guru saya. Adam dan Iblis sama-sama pernah berdosa kepada Allah. Namun Allah ampunkan Adam kerana ia lakukan dosa dengan rasa takut dan kemudian menyesal. Adapun Iblis, Allah tidak menerima taubatnya kerana saat ia berdosa ia lakukan dengan sombong dan ketawa. Khalid akan menerima akibatnya. Bagaimana bentuknya akibat yang akan beliau terima tiada siapa yang tahu kecuali Allah. Kalau Allah mahu hambaNya yang lain mendapat iktibar, maka Allah akan zahirkan balasan itu kepada beliau. Saya bimbang jika beliau tidak memohon maaf kepada TGHH, beliau akan hilang akal selepas ini. Balasan Allah itu dekat. Apatah lagi jika di-aminkan oleh ratusan ribu ahli PAS.

Moga beliau baca status saya ini. Hanya kerana menjaga kepentingan DAP, kamu sanggup menghina seorang ulamak yang pernah memimpin kamu dan sudah pasti juga selaku guru kepada kamu. Demi DAP, kamu sanggup mengatakan tidak siuman kepada guru kamu. Ingat… Antara balasan yang disegerakan Allah ke atas hambaNya ialah orang yang derhaka kepada ibu bapa dan gurunya. Jadi suka saya menasihati kamu agar segera bertaubat.

Jika kamu terus sombong dan mempertahankan ego kamu, saya bimbang selepas ini kami akan terjumpa seorang lelaki gila di tepi jalan yang terhegeh-hegeh berjalan sambil ketawa terbahak-bahak. Moga lelaki gila itu bukan kamu.

Khalid wajib minta maaf kepada TGHH

Apa salah TGHH terhadap kamu? Tumbangnya PH bukan kerana TGHH. Kamu hilang jawatan bukan kerana TGHH. Kamu tak dapat pencen bukan kerana TGHH.

Semuanya kerana kegelojohan dan kerakusan Anwar dan kamu-kamu semua sehingga Tun meletakkan jawatan. Kehancuran PH bukan kerana PAS atau TGHH. Itu adalah kerana kegilaan kamu semua yang tak pandai urus PH dan kerajaan. Kamu jadi bodoh itu salah TGHH juga kah?

Kesombongan dan kebodohan kamu memberikan justifikasi mengapa kami dari PAS beria-ia benar mahu lihat PH tumbang dan terguling. Sekarang rakyat faham mengapa PAS berbuat begitu. Saya sarankan… Kalau PAN mahu dilihat sebagai sebuah parti yang beradab dan berakhlak hendaklah ditiadakan Khalid dalam kepimpinan PAN. Tapi masalahnya DAP sangat memerlukan orang seperti ini untuk menjadi juru salak bagi pihak DAP.

Kamu nak jadi pembangkang jadilah. Tapi jadilah pembangkang yang cerdik. Jangan jadi pembangkang gila. Anjing gila pun ada masa-masa tertentu untuk menyalak dan ada benda-benda tertentu yang disalaknya. Ini sampai tak kenal masa dan siapa…

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 12/3/2020