Selepas 47 tahun PAS kembali ke Kabinet

PUTRAJAYA, 11 Mac -- Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bergambar bersama timbalan-timbalan menteri sebelum mempengerusikan mesyuarat di Bangunan Perdana Putra hari ini. --fotoBERNAMA

SELEPAS 47 tahun akhirnya PAS kembali mentadbir negara. Bermula dengan kerajaan campuran diwujudkan pada 1 Januari 1973. Detik kerjasama PAS dan Umno berpangkal daripada tragedi hitam 13 Mei 1969.

Rusuhan kaum mengorbankan ramai rakyat ketika itu. Idea awal dicetus Tan Sri Samad Idris, kemudian diusahakan pula Ghaffar Baba. Pada peringkat awal PAS mengambil sikap tunggu dan lihat.

Advertisement

Yang Dipertua Agung PAS, Dato’ Mohd Asri Muda mengadakan banyak siri perjumpaan dengan Tun Abdul Razak Husein membincangkan isu tersebut.

Konsep kerajaan campuran berpandu maqasid syariah. Selain itu mengikut kaedah usul fiqh. Sebelum diputuskan secara muktamad dibincang pada muktamar khas PAS pada 21 Disember 1972.

Mesyuarat agung khas ketiga diadakan pada 21 Disember 1972. Ketika undian dilakukan seramai 190 perwakilan menyokong kerajaan campuran Umno-PAS. Manakala 94 perwakilan menolak dan 19 lagi berkecuali.

Akhirnya pada 28 Disember 1972 dimaterai persetujuan kedua-dua pihak. Hasil daripada kerjasama itu PAS ditawarkan jawatan Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas. Mohd Asri mengisi jawatan itu.

Ahli Parlimen PAS Kota Setar, Yusof Abdullah pula dilantik Timbalan Menteri Perusahaan Utama. Ustaz Abu Bakar Hamzah pula dilantik Senator bagi menduduki Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Bandar.

Selepas pembentukan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 1974 bilangan pemimpin PAS menganggotai kabinet bertambah. Mohd Asri kekal sebagai Menteri Tanah dan Galian serta tugas-tugas khas. Hasan Adli Arshad pula Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Rakyat, manakala Abu Bakar Umar Timbalan Menteri Kesihatan.

Dua lagi pemimpin PAS dilantik Setiausaha Parlimen. Mustafa Ali sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Mohd Zahari Awang Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Bandar.

Mohd Asri mendapat pendidikan bidang agama di Sekolah Majlis Ugama Islam di Kota Bharu. Selain itu belajar agama di Masjid Muhammadi.

Anehnya ketika itu tidak kedengaran ada pihak yang pertikaikan kelayakan pemimpin PAS. Sebaliknya ketika pemimpin PAS sekali lagi kembali ke kabinet tiba-tiba muncul suara-suara sumbang.

Pertikaian lantik Menteri sehari dua ini geger amarah terhadap Facebook yang dinamakan ‘Jbon Jbon’. Pemiliknya itu seperti bangga memperlekeh pemimpin PAS yang dilantik Menteri.

Kata Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri (UPKN) Kelantan, Zulkifli Mamat mungkin pemilik Facebook itu khilaf idea. Sepatutnya pihak terbabit menyalur idea atau cadangan dan bukan memperlekehkan Menteri baharu secara terbuka.

“Kita bimbang pihak berkenaan hilang pertimbangan dengan diselimuti dendam politik. Kalau rasa hebat tampilkan idea bagi membantu kerajaan.

“Lagipun biarpun Menteri lulusan pengajian Islam tidak semesti gagal menguasai bidang lain. Arwah Tok Guru Nik Abdul Aziz sudah membuktikan di Kelantan,” katanya.

Malah ahli jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan mencatatkan tugas dakwah bukan di bidang agama semata-mata.

Tidak pelik kalau pemimpin PAS dilantik menerajui Kementerian Alam Sekitar atau Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi. Ia bukan aneh bagi mereka yang berjiwa besar.

Malah Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man menyebut Islam sudah lama membincangkan mengenai alam sekitar.

“Al-Quran menyebut sumber kehidupan ialah air, jadi fokus kita adalah untuk memastikan bahawa sumber kehidupan ini dipelihara,” katanya selepas mesyuarat kementeriannya di Putrajaya semalam.

Beliau juga memberitahu mahu mengaktif Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan bagi menghadapi cuaca kering. Bencana alam yang berlaku di mana-mana ada berkaitan dengan ketidakseimbangan ekosistem. Banjir, jerebu dan tanah runtuh ada hubungan rapat dengan aktiviti harian manusia.

Surah ar-Ruum ayat 41 mafhumnya; “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk mereka lakukan, supaya kembali (insaf dan bertaubat)”.

Maka tidak tempang Menteri miliki kelayakan pengajian Islam mengetuai Kementerian Alam Sekitar. Begitu juga kementerian apa sekalipun. Islam adalah agama fitrah sesuai dengan sifat semula jadi manusia.

Ulama bukan sekadar layak mengisi Menteri Hal Ehwal Agama sahaja. Kata orang tua-tua, benih baik jatuh ke laut akan jadi pulau.

M Faqih – HARAKAHDAILY 12/3/2020