Sokong sisa plastik import dibanteras

SAYA menyokong sepenuhnya tindakan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Alam Sekitar semasa sidang media pertama semalam. Antaranya berkaitan isu sisa plastik import yang telah dibawa masuk ke Malaysia oleh negara-negara pengeksport yang akan ditangani secara bersepadu.

Advertisement

Sebelum ini, Malaysia telah berjaya menghantar balik 150 kontena sisa plastik import yang dianggarkan 3,737 tan metrik ke negara asal sejak suku ketiga tahun lalu dengan menerima pakai Konvensyen Basel.

Manakala 84 kontena sisa plastik import yang berbaki akan segera dihantar balik ke negara-negara asal iaitu United Kingdom, Belgium, Perancis dan Vietnam dalam masa terdekat.

Isu penyeludupan sisa plastik import perlu ditangani secara komprehensif dengan pemeriksaan yang lebih ketat dan teliti terhadap kesemua kontena yang dibawa masuk ke pelabuhan di Malaysia terutama Pelabuhan Klang, Pelabuhan Pulau Pinang dan Pelabuhan Sarawak.

Kerjasama antara pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KASTAM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) amat penting bagi membendung kegiatan haram tersebut agar Malaysia tidak dinobatkan sebagai ‘tong sampah dunia’.

Pada masa yang sama, kerjasama antara Kementerian Alam Sekitar dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga amat penting memandangkan Malaysia merupakan negara yang mengimport sisa plastik yang boleh dikitar semula. Perkara ini perlu diteliti secara mendalam bagi mengelakkan berlakunya penyelewengan.

Selain pemeriksaan dan pengawalan yang ketat dilaksanakan ke atas kemasukan kontena-kontena di pelabuhan, saya juga berharap kilang-kilang haram yang mengusahakan kegiatan kitar semula sisa plastik import dapat ditangani secara holistik agar kilang tersebut benar-benar ditutup dan dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Akhir sekali, saya menyokong sebarang usaha yang diambil oleh Kerajaan bagi memastikan kesemua kontena yang dibawa masuk oleh negara-negara pengeksport dihantar balik ke negara asal. Tambahan pula, sebarang aktiviti sama ada kemasukan ataupun pemprosesan sisa plastik import haram dilakukan dapat ditangani dengan tegas demi kemaslahatan rakyat.

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB CHE ALIAS HAMID
Ahli Parlimen Kemaman – HARAKAHDAILY 12/3/2020