Zakat, cukai dan jizyah (Solusi 5)

ASAS kefahaman

(1) Artikel sebelum ini saya menghuraikan mengenai institusi zakat yang perlu diberi lesen besar (dikuatkuasakan). Ini kerana, ia adalah solusi kepada masalah ekonomi pada hari ini.

Beberapa asas penting dalam sistem percukaian Islam yang mesti difahami ialah terdapat 2 jenis;

(a) Cukai yang ditetapkan oleh Syara’.

(i) Zakat harta, mempunyai 5 jenis, yang dikenakan kepada orang Islam, iaitu hasil pertanian, emas atau perak, harta karun (rikaz), wang simpanan dan haiwan ternakan.

(ii) Jizyah seperti cukai kepala yang dikenakan kepada lelaki kafir yang berkemampuan.

(b) Cukai yang dicipta oleh pemerintah Islam satu ketika dahulu.

(i) Kharaj : Cukai tanah pertanian milik negara yang diusahakan oleh orang kafir

(ii) ‘Ushur: Cukai import dan eksport barang dagangan.

Advertisement

(2) Perlu tahu juga, zakat atau cukai merupakan salah satu sumber negara selain daripada hasil bumi, dan banyak lagi. Hal ini insyaAllah akan dibincangkan dalam artikel lain.

Cumanya yang perlu kita muhasabah semula ialah, apabila berlakunya perang ekonomi, tindakan kita tertumpu kepada kempen BMF, boikot, dan banyak lagi.

Kita jangan lupa bahawa zakat merupakan tunjang utama dalam memperkasa ekonomi Umat Islam, selain daripada konsep-konsep percukaian yang dikenakan kepada orang kafir.

Tidak terbeku sesama orang kaya sahaja

(1) Contoh yang perlu fikirkan bahawa kempen Beli Barangan Islam (BMF) salah satu perkara yang penting untuk difahami ialah, peniaga tadi akan membayar zakat daripada hartanya.

Di sana terdapat 3 jenis zakat yang diperselisihkan oleh ulamak, iaitu zakat pendapatan, perniagaan dan perlombongan. Hal ini terserah kepada mereka yang mengurus negara.

(2) Kitaran ekonomi Islam berdasarkan firman Allah S.W.T;

مَّا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَىٰ رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَىٰ فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنكُمْ ۚ ….

“Apa yang Allah kurniakan kepada RasulNya (Muhammad) dari harta penduduk negeri, bandar atau desa dengan tidak berperang, maka adalah ia tertentu bagi Allah, dan bagi Rasulullah, dan bagi kaum kerabat (Rasulullah), dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, serta orang-orang musafir (yang keputusan). (Ketetapan yang demikian) supaya harta itu tidak hanya beredar di antara orang-orang kaya dari kalangan kamu…”

Maqasid yang diletakkan di dalam ayat ini ialah كي لا يكون دولة بين الأغنياء iaitu supaya harta itu tidak hanya beredar sesama orang kaya sahaja.

(3) Perlu faham bahawa ekonomi itu akan dinikmati oleh semua rakyat apabila ia ‘dikitarkan’. Tidak boleh terbeku hanya sesama orang kaya sahaja.

Justeru, antara kaedahnya ialah dengan zakat atau cukai yang dikenakan kepada orang kaya, dan diagihkan kepada orang-orang miskin sepertimana yang telah saya tulis dalam artikel yang lalu.

Realiti di Malaysia

(1) Antara realiti hari ini, orang Islam perlu bayar dua kali, iaitu kena bayar zakat dan juga cukai yang dikenakan oleh LHDN sebagai sumber negara.

Manakala orang kafir tidak membayar zakat, mereka cuma membayar cukai sepertimana orang Islam. Bukan setakat itu, cukai di Malaysia juga dikenakan kepada semua rakyatnya.

Contohnya GST dan SST yang dibawa oleh Kerajaan PH dan BN dahulu. Konsep SST dan GST bukanlah penyelesaian masalah, tetapi menambahkan beban masalah rakyat.

(2) Kita tidaklah mengatakan bahawa cukai semuanya haram. Akan tetapi antara cukai yang diharamkan ialah cukai yang dikenakan ‘sekali harung’ kepada semua rakyat miskin dan kaya.

Selain GST dan SST, antara contoh cukai yang sepatutnya dihapuskan ialah ‘tol’. Orang kaya dan miskin akan masuk lebuh raya dan menggunakan jalan tersebut.

(3) Pada zaman pemerintahan Islam terdahulu, mereka mewujudkan kharaj dan usyur, yang tidak bercanggah dengan konsep percukaian Islam, yang mana asasnya ialah;

تؤخذ من أغنيائهم وترد على فقرائهم

“…yang dipungut dari orang-orang kaya mereka lalu dikembalikan kepada orang-orang miskin mereka.”

(Hadis Muttafaq Alaih)

Ini merupakan perkara asas dalam ekonomi Islam. Kalau sistem Kapitalis, mereka akan terus membesarkan lagi jurang perbezaan ini sehingga meningkatkan bilangan orang miskin

Jizyah dalam Islam

(1) Apa yang tersedia di Malaysia, bukannya perlu dirombak semua sekali dengan skala super besar. Hanya perlu adjust sedikit sahaja untuk selari dengan kaedah Islam.

Contoh yang perlu di adjust sepertimana yang telah dicadangkan dalam artikel yang lepas ialah membuka lebih besar ruang untuk memperolehi lesen AP, hapuskan tol, dan meningkatkan kuasa institusi zakat.

(2) Kuasa institusi zakat perlu ditingkatkan melalui pindaan beberapa akta yang telah saya utarakan sebelum ini. Cumanya antara perkara yang saya kira agak rompong adalah ‘institusi jizyah’.

Jizyah merupakan antara elemen penting dalam memelihara keseimbangan sosio-ekonomi hari ini apatah lagi peratusan non-Muslim agak besar.

(3) Jizyah ini termaktub dalam nas. Allah S.W.T menyatakan dalam ayat 29, dari surah At-Taubah dengan Firman-Nya;

قَاتِلُوا الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَلَا بِالْيَوْمِ الْآَخِرِ وَلَا يُحَرِّمُونَ مَا حَرَّمَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَلَا يَدِينُونَ دِينَ الْحَقِّ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ حَتَّى يُعْطُوا الْجِزْيَةَ عَنْ يَدٍ وَهُمْ صَاغِرُونَ

“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak (pula) kepada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan RasulNya dan tidak beragama dengan agama yang benar (agama Allah), (iaitu orang-orang) yang diberikan Al-Kitab kepada mereka, sampai mereka membayar jizyah dengan patuh sedang mereka dalam keadaan tunduk.”

Sebahagian rakyat Malaysia tidak beragama Islam (kafir). Justeru, jika orang Islam wajib membayar zakat, maka orang-orang kafir di Malaysia wajib membayar jizyah.

Institusi menguruskan jizyah

(1) Berdasarkan ayat 29 Surah At Taubah, mungkin boleh dikatakan kenapa orang-orang kafir di Malaysia ada yang ‘naik lemak’, mempertikaikan Islam dan sebagainya.

Mungkin antara sebabnya ialah mereka tidak pernah dikenakan bayaran ‘jizyah’. Wallahua’lam. Justeru, pelaksanaannya sangat wajar, apatah lagi di Malaysia agak besar juga peratus non-Muslim.

(2) Sebelum ini ada idea yang mencadangkan supaya zakat diagihkan juga kepada orang kafir untuk menjinakkan hati mereka. Itu cadangan mereka.

Cuma saya lebih cadangkan supaya diberi keutamaan terhadap pungutan jizyah, khususnya untuk membantu orang-orang kafir yang miskin dan tidak berkemampuan.

(3) Islam menggariskan bahawa sekiranya negara Islam berperanan menjaga orang-orang kafir tadi sebagai rakyat, maka wajarlah mereka membayar jizyah.

Sekiranya tidak dapat menjaga maka wang jizyah tadi akan dipulangkan semula. Beginilah yang dipraktikkan pada zaman pemerintahan Islam.

(4) Contoh yang lain, dalam kitab أحكام الذميين والمستأمنين في دار الإسلام Dr Abdul karim Zaidan ada menyatakan bahawa tergugur kewajipan non-Muslim daripada membayar jizyah, sekiranya mereka telah bersatu dengan Muslim dalam mempertahankan negara dari sebarang serangan musuh.

Bahkan perkara ini telah diamalkan pada zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al-Khattab satu ketika dahulu. Justeru sangat wajar diwujudkan institusi khusus yang mengurus jizyah.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 12/3/2020