Ziarah bersama PAS-Umno Lumut teguhkan MN

LUMUT: Program Ziarah Medik Perpaduan Ummah (ZMPU) yang buat julung kalinya diadakan melibatkan beberapa PAS Cawangan dan Umno di Unit Daerah Mengundi (UDM) sekitar Zon Lekir telah berjaya diadakan, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Program diserikan dengan ucapan pimpinan PAS dan Umno diikuti perasmian disempurnakan Pengerusi Lajnah NGO PAS Negeri Perak, Dato’ Drs Ustaz Khalil Idham Lim mewakili Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria di Markas Tarbiyyah PAS Batu 9 ½ Lekir.

“Antara tujuan program ini adalah untuk mengeratkan hubungan di kalangan ahli PAS dan Umno di peringkat akar umbi sebagai persediaan menghadapi PRU15,” ujar Yang DiPertua PAS Kawasan Lumut, Rosli Abd Rahman

Sementara itu, Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir di dalam ucapan memberi keyakinan bahawa Muafakat Nasional akan berjaya mencapai matlamatnya kerana sikap kepimpinan tertinggi yang meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara mengatasi kepentingan peribadi mereka.

“Program yang berkonsepkan ziarah dan rawatan kesihatan ini telah berjaya mengunjungi 30 rumah ahli PAS dan Umno yang uzur. Disamping rawatan kesihatan yang diberikan oleh para doktor, sumbangan keperluan harian turut disampaikan,” ujar Pengarah ZMPU, Rohawati Abidin.

Menurut beliau lagi, semua keluarga diziarahi memberi sambutan menggalakkan dan reaksi positif terhadap program yang dianjurkan di mana mereka mengharapkan agar program seumpamanya dapat diadakan lagi untuk mengukuhkan lagi Muafakat Nasional Lumut.

Turut menjayakan program ini adalah kepimpinan PAS dan Umno di peringkat Kawasan, Bahagian dan Cawangan-cawangan terlibat serta pegawai perubatan dari Hospital Seri Manjung dan Hospital Ipoh. – HARAKAHDAILY 12/3/2020