Pasca-Kabinet baharu: 10 pelajaran untuk PAS

SELEPAS terbentuknya Kabinet baharu pada 9 Mac lepas di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia ke-8 YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, PAS secara rasminya menjadi sebahagian daripada parti pemerintah bersama parti-parti lain di dalam gabungan yang dikenali sebagai ‘Perikatan Nasional’.

Berdasarkan pemerhatian, terdapat sepuluh (10) perkara yang boleh menjadi pelajaran untuk PAS.

Pertama: Memimpin lapan (8) Kementerian

PAS ditugaskan mengetuai tiga Kementerian iaitu; Kementerian Alam Sekitar; Menteri JPM – Parlimen dan Undang-undang; dan Kementerian Perladangan Perusahaan dan Komoditi. Selain itu, PAS turut diamanahkan sebagai Timbalan Menteri di lima Kementerian iaitu; Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga; Menteri JPM – Agama, Kementerian Sumber Manusia; Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi; dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Kedudukan ini munasabah dengan pengalaman PAS yang baru menjadi kerajaan setelah sekian lama. Kali terakhir PAS dilaporkan berada di dalam Kerajaan Persekutuan ialah pada tahun 1973-1974 ketika bersama Parti Perikatan dan tahun 1974 hingga 1977 ketika bersama Barisan Nasional.

Advertisement

Kedudukan ini sesuai untuk PAS menimba pengalaman baru sebagai parti pemerintah setelah puluhan tahun menjadi parti pembangkang. Pengalaman baru mengetuai tiga Kementerian dan membantu lima Kementerian ini perlulah dimanfaatkan sebaiknya oleh PAS sebagai persiapan bagi mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak. Ini juga adalah masanya untuk PAS berusaha merealisasikan dasar dan idealisme perjuangannya selama ini, mengikut kesesuaian dan kemampuan.

Kedua: Model Kerajaan Teknokrat

Pelantikan Tokoh Teknokrat non-partisan sebagai Menteri Kewangan dan Menteri JPM – Agama adalah suatu perubahan positif yang mengejutkan banyak pihak. Apatah lagi pelantikan tersebut melibatkan Kementerian yang dianggap sebagai ‘kerusi panas’ di dalam Kabinet, pasca pemerintahan Pakatan Harapan (PH). Sehingga saat ini, pelantikan yang menggunakan model Kerajaan Teknokrat ini banyak mendapat pujian daripada pelbagai pihak, termasuk pihak lawan.

Model Kerajaan Teknokrat ini diketengahkan Presiden PAS sejak tahun 2015 lagi. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) melalui Jabatan Profesional Muda (JPro) mengambil inisiatif menganjurkan Konvensyen Profesional Muda (K-Pro) pada 18 Mac 2017, bertujuan mengumpulkan para profesional muda di dalam PAS untuk merangka pelan induk mengenai pelaksanaan Kerajaan Teknokrat.

Di dalam model Kerajaan Teknokrat, pelantikan seseorang bagi mengisi posisi tertentu di dalam kerajaan adalah berdasarkan ilmu, kepakaran dan pengalamannya di dalam sesuatu bidang. Pelantikan dibuat bukan semata-mata berdasarkan kepada hierarki di dalam organisasi atau senioriti dalam parti, seperti yang diamalkan sejak sekian lama di Malaysia.

Walau bagaimanapun, pelantikan daripada kalangan pimpinan parti politik masih diperlukan. Gabungan antara Teknokrat dan pemimpin politik di dalam sesebuah kerajaan adalah perlu bagi memastikan dasar-dasar sesebuah kerajaan itu selari dengan dasar parti yang memerintah.

Model Kerajaan Teknokrat yang telah mula dilaksanakan ini wajar diperluaskan lagi pelaksanaannya di peringkat Kerajaan-kerajaan Negeri khususnya yang ditadbir oleh PAS. Selain itu, pimpinan dan ahli PAS juga wajar mendalami ilmu dan berusaha menjadi pakar di dalam bidang tertentu bagi mengisi keperluan Kerajaan Teknokrat.

Ketiga: Parti sebagai pemantau kerajaan (hisbah)

Umum mengetahui bahawa Presiden PAS dan Presiden Umno masing-masing tiada di dalam Kabinet baharu ini. Hal ini berbeza dengan amalan sebelum ini yang lazimnya mewajibkan ketua-ketua parti pemerintah dilantik berada di dalam Kabinet dan mengetuai Kementerian-kementerian yang kanan.

Amalan ini dapat menjadikan fungsi parti sebagai pemantau kerajaan dengan lebih berkesan. Di dalam amalan pentadbiran Islam, fungsi memantau atau mengawasi kerajaan ini dinamakan sebagai ‘hisbah’. Di Malaysia, PAS didapati melaksanakan amalan ‘hisbah’ ini ketika pemerintahannya di Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004. YA Tun Salleh Abbas (bekas Ketua Hakim Negara) dilantik mengetuai Jawatankuasa Hisbah ketika itu.

Pelaksanaan ‘hisbah’ ini ditegaskan oleh Presiden PAS di dalam ucapan Perutusan Khas Presiden PAS yang disiarkan media pada 10 Mac yang lalu. Presiden PAS menyatakan bahawa ketiadaan beliau di dalam Kabinet baharu ini supaya parti dapat memantau dengan lebih telus mengenai prestasi Menteri dan Timbalan Menteri PAS yang berada di dalam Kabinet. Pemantauan yang berfungsi seperti ‘hisbah’ ini perlu agar wakil PAS di dalam Kabinet benar-benar dapat berperanan sebagai ‘eksekutif’ dan pelaksanaan kepada dasar-dasar yang ditetapkan.

Oleh itu, adalah sangat perlu supaya diwujudkan segera suatu badan khusus yang dapat melaksanakan fungsi ‘hisbah’ di dalam PAS, bagi mencapai apa yang disebutkan oleh Presiden PAS. Penubuhan badan ini boleh diwujudkan di peringkat Pusat dan Negeri bagi memantau Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Keanggotaannya perlulah terdiri daripada pakar-pakar yang berkaitan dan sebolehnya daripada kalangan pihak-pihak yang tidak mempunyai konflik berkepentingan (conflict of interest) di dalam parti.

Keempat: Perubahan mindset pembangkang kepada pemerintah

Apabila berubahnya kedudukan PAS daripada pembangkang kepada pemerintah, perkara utama yang mesti diubah ialah cara berfikir atau ‘mindset’. Cara berfikir sebelum ini sebagai pembangkang perlu diubah kepada cara berfikir sebagai pemerintah. Perubahan cara berfikir ini mestilah dimulakan dahulu oleh pimpinan-pimpinan PAS, dan disusuli oleh ahli-ahlinya. Perubahan cara berfikir ini adalah perlu supaya PAS dilihat berupaya dan diyakini untuk memerintah. Ianya termasuklah dalam aspek imej dan penampilan (gaya berpakaian, gaya berjalan, gaya berucap dan lain-lain).

Cara berfikir seseorang akan mempengaruhi sikap dan tindakannya. Sebagai contoh, seorang pemandu yang tenang fikirannya, pemanduannya juga akan menjadi tenang dan selamat. Ianya berbeza dengan pemandu yang kacau bilau pemikirannya, pemanduannya akan turut menjadi kelam kabut, merbahaya dan memudharatkan orang lain.

Begitu juga halnya dengan cara berfikir pemerintah, ia akan melakukan sesuatu perkara yang bersifat membina, membangunkan dan memperbaiki. Berbanding seseorang yang masih terkongkong dengan cara berfikir pembangkang, ia lazimnya akan lebih gemar untuk meruntuhkan, menghasut dan merosakkan. Pembangkang yang baik akan mengubah cara berfikirnya daripada menjadi parti pembangkang kepada menjadi parti bukan pemerintah. Dalam erti kata lain, pembangkang konstruktif yang turut sama-sama membina, membangunkan dan memperbaiki negara. Inilah Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

Kelima: Banyak mendengar

Lanjutan daripada perubahan cara berfikir, sebagai parti pemerintah, PAS perlu lebih banyak mendengar berbanding mengkritik. Jadilah pendengar yang baik (be a good listener) terhadap apa jua pandangan, kritikan, mahupun cacian dan kutukan. Tiada salahnya untuk tidak memberikan serangan balas apabila diserang oleh lawan. Kadang-kala, mendengar itu adalah ‘serangan’ balas yang boleh mematikan langkah lawan.

Selain itu, PAS akan berhadapan dengan pelbagai karenah dan gelagat manusia terutamanya daripada kalangan rakyat marhaen. Ada yang datang meminta bantuan, mengadu masalah tertentu, meminta peruntukan dan sebagainya. Mereka tidak sempat ambil tahu apakah jawatan kita. Yang mereka tahu, PAS adalah parti pemerintah. Maka bagi rakyat, sesiapa sahaja yang pakai lambang PAS, tentunya adalah pemerintah yang boleh menjadi tempat untuk mendengar segala hal masalah mereka.

Sentiasalah mendengar dengan penuh perhatian, memandang wajah mereka, mengangguk apabila perlu (sebagai respons terhadap apa yang diajukan), dan catatlah apa-apa maklumat yang perlu. Semua tindakan ini adalah bahasa badan (body langguage) yang menunjukkan bahawa kita sedang mendengar.

Keenam: Berusaha menyelesaikan masalah

PAS perlu berusaha menjadi penyelesai masalah, bukannya menambahkan lagi masalah yang sedia ada. Ini juga adalah rentetan daripada sikap ‘banyak mendengar’ seperti yang dinyatakan sebelum ini. Masalah atau isu-isu yang diajukan kepada kita, perlu diusahakan supaya ianya dapat diselesaikan. Tindakan menyelesaikan masalah ini sebenarnya adalah selari dengan Teras Kedua di dalam Pelan Pemerkasaan Parti dan Transformasi Imej (PPTI) iaitu Mengemukakan Penyelesaian Islam.

Boleh jadi masalah tersebut tidak dapat diselesaikan sepenuhnya oleh kita kerana melibatkan beberapa pihak dan berbilang agensi, namun sekurang-kurangnya kita berusaha membantu menyelesaikan sebahagian daripadanya. Yang penting, berusaha untuk menyelesaikan, bukan dibiarkan begitu sahaja. Rakyat tidak suka sikap begini.

Ketujuh: Hormati penjawat awam

Sebagai sebuah parti pemerintah, PAS perlu menghormati penjawat-penjawat awam yang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan. Mengapa? Kerana mereka adalah kumpulan profesional yang bekerja dengan penuh komited untuk melaksanakan segala dasar-dasar dan polisi-polisi yang ditetapkan. Pengalaman dan kepakaran mereka di dalam bidang yang berkaitan perlulah dihormati. Pandangan dan nasihat yang mereka berikan perlu dihargai. Mereka adalah orang yang berpengalaman dan mahir di dalam bidang mereka.

Bagi tujuan ini, PAS perlu mahir dan menguasai seni komunikasi untuk berinteraksi dengan penjawat awam. Selain itu, ilmu-ilmu pentadbiran dan pengetahuan mengenai dasar dan pengoperasian kerajaan juga harus sentiasa diperdalami. Bagi mereka yang mempunyai hubungan baik dengan penjawat awam, ilmu-ilmu ini akan dapat diperolehi dengan mudah.

Kelapan: Menjadi tumpuan netizen

Tidak dinafikan, keberadaan PAS di dalam Kabinet memang menjadi tumpuan warga netizen. Sama ada tumpuan yang berbentuk pujian, harapan mahupun kecaman dan kutukan.

Selain itu, PAS tidak ketinggalan menjadi sasaran serangan musuh, terutamanya daripada bekas-bekas Menteri pemerintahan sebelum ini. Kecaman demi kecaman, cacian dan sumpah seranah merupakan skrip yang wajib ada dalam ucapan-ucapan mereka sekarang, seolah-olah PAS adalah parti teras di dalam kerajaan. Walhal, kedudukan PAS hanyalah berjumlah 11 peratus sahaja atau lapan (8) posisi (Menteri dan Timbalan Menteri) daripada keseluruhan tujuh puluh (70) posisi yang ada termasuk posisi Perdana Menteri.

Sebenarnya, pihak yang sedang mengecam dan menghamburkan cacian kepada PAS ini sedang mempromosikan PAS secara tidak langsung. Lihat sahaja laman media sosial Timbalan Presiden PAS yang juga merupakan Menteri Alam Sekitar, jumlah pengikutnya meningkat mendadak setelah menerima kecaman netizen. PAS tidak perlu bimbang dengan mereka, bahkan wajar berterima kasih, kerana mereka menjadi ‘promoter’ kepada PAS.

Secara positifnya, ianya menunjukkan PAS menjadi tumpuan rakyat. Kemampuan dan kebolehan PAS untuk melaksanakan tadbir urus di dalam kerajaan sedang dinilai. Rakyat atau netizen juga merupakan sebahagian daripada elemen ‘hisbah’ yang menjalankan fungsi pengawasan seperti yang dinyatakan di dalam huraian sebelum ini.

Kesembilan: Menguasai media baru

Dalam dunia hari ini, media baru adalah segala-galanya. Walaupun kita seorang yang bagus, bekerja keras untuk rakyat dan negara, namun jika kita tidak menguasai media baru, kita akan dianggap gagal.

Inilah titik kekuatan pihak lawan yang menjadikan mereka berjaya memenangi hati rakyat di dalam PRU-14 yang lalu, menguasai media. Mereka menaburkan fitnah siang dan malam, mereka cerita-cerita yang tidak wujud dan mengulanginya siang malam pagi petang dengan penuh emosi, hingga akhirnya sebahagian rakyat mempercayai cerita-cerita fitnah itu. Bak kata puitis penyanyi terkenal Jim Morrison, “Whoever controls the media, controls the mind”.

PAS perlu memberi perhatian serius terhadap aspek penguasaan media baru. Lebih-lebih lagi apabila mempunyai kelebihan sebagai parti pemerintah sekarang. Penguasaan media baru ini penting sebagai medium untuk menyampaikan mesej-mesej dakwah secara kreatif yang bersesuaian dengan kumpulan sasaran.

Selain itu, prestasi Menteri dan Timbalan Menteri PAS perlu dipromosikan dan diperlihatkan semaksimum mungkin. Bak kata orang putih, “doing and seen doing”. Jangan kedekut berbelanja untuk menguruskan media baru. Ianya adalah satu pelaburan yang sangat berbaloi.

Namun harus diingat, elakkan menggunakan jentera penerangan kerajaan untuk menghentam lawan politik. Jentera penerangan kerajaan mesti digunakan hanya untuk memperjelas dasar-dasar kerajaan dan mempromosi aktiviti-aktiviti kerajaan sahaja. Jika mahu membalas serangan musuh politik, gunakan jentera penerangan parti. PAS perlu bezakan yang mana satu jentera kerajaan dan yang mana satu jentera parti. Tidak boleh pukul sama rata macam yang biasa dilakukan oleh pemerintah sebelum ini.

Kesepuluh: Prinsip Islam sebagai panduan

Sebagai sebuah parti politik yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan, PAS wajib sentiasa berpandu kepada prinsip Islam dalam setiap tindak tanduknya. Perlu diingat, keberadaan seseorang wakil parti di dalam kerajaan adalah atas nama parti, bukan atas nama individunya. Maka seharusnya segala tindakannya perlu seiring dengan polisi parti selagi mana ianya tidak bercanggah dengan prinsip dan dasar Islam.

Rumusan

Sebagai rumusannya, sepuluh (10) ‘pelajaran’ ini melibatkan tiga aspek iaitu aspek pemikiran; sikap; dan tindakan. Tindakan yang dilakukan oleh seseorang individu adalah terdorong oleh sikap yang menjadi amalan kebiasaan. Manakala sikap itu pula terbentuk daripada cara berfikir seseorang terhadap sesuatu perkara. Cara berfikir itu pula bersumberkan kepada prinsip yang dipegang, ilmu yang dimiliki dan pengalaman yang dilaluinya sebelum ini.

Ketiga-tiga aspek inilah yang menentukan sejauh mana PAS mampu melaksanakan peranannya sebagai parti pemerintah dan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia khususnya dan masyarakat Antarabangsa amnya. Berperanan sebagai pemerintah dan memberi manfaat kepada manusia adalah merupakan jalan untuk mendapat keredhaan Allah.

“Budaya Politik Matang Sejahtera”
“Bina Malaysia Sejahtera”
“Kabinet Perpaduan Umat”
“Islam Memimpin Perpaduan”
“Mindset Pemerintah”

AFNAN HAMIMI – HARAKAHDAILY 13/3/2020