Rakyat bosan dengan ‘politiking’-Amzad

MARANG: Masyarakat umumnya di seluruh negara telah bosan dengan pelbagai kerenah ahli-ahli politik kerajaan sebelum ini, yang terlalu ‘politiking’ hingga menyusahkan rakyat.

Advertisement

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, fokus sekarang ini bagi memperkukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, kalangan rakyat sedang membandingkan antara kerajaan Perikatan Nasional sekarang dengan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Tumpuan yang diberikan sekarang ini, untuk kita menstabilkan kerajaan (PN) dan fokus kepada masalah-masalah rakyat.

“Ada rakyat membandingkan PN dengan kerajaan PH yang lalu. Kita (PN) jangan ulangi kesilapan itu dan kurangkan ‘politiking’. Rakyat mahu sekarang ini kita selesaikan masalah rakyat.

“Sekarang kita telah jadi kerajaan di peringkat Persekutuan. Bila jadi kerajaan, kita dapat peruntukan yang besar untuk pembangunan negeri dan rakyat,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Kuliah Dhuha Pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang, hari ini.

Menurut Amzad, taklimat yang diberikan oleh Perdana Menteri mahukan semua pemimpin-pemimpin kerajaan meredakan masalah politik yang makin bercelaru itu.

“Tumpuan hendaklah kepada rakyat, selesaikan masalah rakyat. Ibaratnya, kami (kerajaan) mesti turun ‘padang’, menyinsing lengan untuk rakyat.

“Itulah yang saya buat sebaik sahaja sampai di Terengganu. Saya tidak banyak buang masa, selepas jumpa ibu bapa, saya terus meninjau masalah rakyat di Kuala Terengganu.

“Balik ke kampung, (tinjau) masalah rakyat. Kita telah janji kepada rakyat mahu sebuah kerajaan yang kukuh. Rakyat sudah bosan dengan masalah ‘politiking’ yang terlalu banyak berlaku di kalangan ahli-ahli politik,” tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menjelaskan bahawa hasil negara banyak kebergantungannya kepada sumber petroleum.

“Masalah penurunan harga petrol sekarang ini. Hasil negara kita (Malaysia) banyak bergantung kepada Petroleum. Harga minyak mentah sekarang dalam USD30 setong. Jadi kerajaan sekarang ini (kena) lebih memberi tumpuan untuk bekerja,” jelasnya.

Menurutnya, masa yang ada sekarang bukan lagi untuk ‘berpolitik’ tetapi berusaha bersungguh-sungguh bagi memacu negara.

Katanya, Terengganu kini mempunyai dua orang menteri penuh dan dua timbalan menteri yang akan berusaha bersungguh-sungguh demi rakyat negeri ini.

Selain Ahmad Amzad, dua menteri penuh anak Terengganu iaitu Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Hal Ehwal Agama, Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan seorang lagi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid. – HARAKAHDAILY 13/3/2020