Teliti dasar terdahulu: Siti Zailah

Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff menyampaikan sumbang makanan kepada mereka yang memerlukan.

KUALA LUMPUR: Kementerian Wanita dan Keluarga akan meneruskan dasar dan inisiatif baik yang diperkenalkan kerajaan terdahulu di samping menambahbaik apa yang perlu, kata Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff.

Ketika ditanya berkaitan ketetapan had umur perkahwinan 18 tahun bagi lelaki dan perempuan oleh kerajaan dahulu, katanya ia perlu dilihat berlandaskan Al-Quran dan hadis.

“Perkahwinan bawah umur ini banyak bentuk. Perlu melihat kepada latar belakang kerana ada yang masalah kemiskinan, sosial dan ada masalah adab, kita jangan mengambil satu formula untuk menyelesaikan masalah yang banyak.

“Saya tidak menentang perkara yang baik, Islam lebih lagi membawa masyarakat ke arah kebaikan. Cuma kita meletakkan landasannya Al-Quran dan hadis itu yang kita pegang,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan makanan kepada mereka yang memerlukan di Pejabat Agung PAS, di sini hari ini.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mengharamkan terus perkahwinan kanak-kanak bawah umur bagi menjaga kepentingan awam yang serta melindungi mereka dari terlibat dalam kes eksploitasi apabila berkahwin di bawah umur.

Namun, perkara itu tidak dipersetujui oleh pemimpin PAS sebelum ini yang berpendapat ia bertentangan dengan Islam.

Tambah Ahli Parlimen Rantau Panjang itu, kementeriannya kini sedang meneliti dasar-dasar terdahulu yang mana tidak bercanggah dengan Al-Quran dan hadis akan diteruskan.

Katanya lagi, pihaknya kini sedang melihat satu demi satu rang undang-undang terutama isu gangguan seksual yang melibatkan kanak-kanak dan perkara itu dibawa dalam mesyuarat kementerian. – HARAKAHDAILY 13/3/2020