COVID-19: Rakyat digesa bersama k’jaan tangani penyebaran

DEWAN Pemuda PAS Malaysia mengikuti rapat perkembangan COVID-19 dalam negara yang kini sedang berhadapan dengan peningkatan kes positif secara mendadak. Pemuda PAS ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada seluruh anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah bertungkus-lumus mengawal penularan dan merawat pesakit-pesakit berkenaan.

Advertisement

Pemuda PAS menggesa seluruh rakyat agar bertanggungjawab dalam memastikan agar virus ini tidak merebak dengan mengamalkan aspek kebersihan sebagaimana yang dikeluarkan oleh KKM serta mengelakkan diri daripada menghadiri kawasan tumpuan ramai.  

Rakyat wajib merujuk kepada hospital dan klinik yang menawarkan saringan COVID-19 jika mempunyai sebarang gejala dan risiko penyakit berkenaan sebagaimana yang digariskan oleh KKM. Pemuda PAS ingin mengucapkan terima kasih kepada anggota Jamaah Tabligh yang telah memberi kerjasama mendapatkan khidmat nasihat kesihatan sebagaimana yang diarahkan. Adalah diharapkan keseluruhan peserta ijtima’ tersebut akan menuruti nasihat yang telah dikeluarkan.

Pemuda PAS berharap kerajaan dapat bertindak dengan sebaiknya dalam menguruskan COVID-19 yang diisytihatkan sebagai pandemik oleh WHO. Parti-parti politik, persatuan-persatuan dan apa sahaja organisasi wajar membatalkan sebarang bentuk himpunan yang melibatkan orang ramai bagi menghidari penyebaran virus berkenaan.

Pemuda PAS ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia agar terus berdoa kepada Allah S.W.T sebagai satu usaha kita sebagai hamba-Nya. Maka dengan ini, Pemuda PAS Malaysia mengarahkan semua pemuda PAS seluruh Malaysia agar mengadakan solat hajat.

Semoga wabak ini dapat diatasi dalam masa yang terdekat.

IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 14/3/2020