Pertolongan dan kemenangan datang dari Allah

PEKAN: Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS Kawasan Pekan Kali Ke-26 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Kompleks PAS Pekan, Kampung Permatang Pasir, di sini baru-baru ini.

Advertisement

Turut menyeri majlis adalah kehadiran rakan Muafakat Nasional yang berpakaian rasmi merah dan putih antaranya Ketua Pemuda Umno Bahagian Pekan, Dato Mohd Nizar Mohd Najib dan Naib Ketua Wanita Umno Pekan, Nor Alizam Mahmud.

Bersama para hadirin dan perwakilan adalah Yang DiPertua dan Timbalan Yang DiPertua PAS Pekan, Ustaz Abu Kassim Manaf dan Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim di mana perasmian disempurnakan Ketua Ulamak PAS Negeri Pahang, Ustaz Zuridan Mohd Daud.

Dalam taujihatnya, Ustaz Zuridan menyentuh mengenai kemelut politik yang berlaku mutakhir ini dengan merujuk kepada kisah di zaman Rasulullah berdasarkan surah an-Nasr di mana tiga ayatnya telah dihuraikan beliau satu persatu.

Menurut ADUN Damak ini, realitinya penyatuan PAS dengan Umno merupakan pertolongan Allah dan kemenangan ini harus dibuktikan dengan perhambaan hanya kepada Allah semata-mata.

Tambah beliau, sejarah politik PAS yang panjang telah menyaksikan bahawa sebelum ini pernah bersendirian, pernah bersama Barisan Alternatif, tahaluf siyasi dengan Pakatan Rakyat dan sekarang ta’awun dengan Umno.

Oleh itu, beliau mengajak setiap ahli agar mencari, memikir dan mengangkat nilai positif yang ada dalam parti untuk diketengahkan kepada masyarakat.

Sementara itu, dalam ucapan penangguhan oleh Ketua Muslimat dan Ketua Pemuda PAS Pekan, Ustazah Rohana Mohamad dan Hannis Ghazi pula senada menyeru agar semua ahli menguasai ilmu.

Hal itu bagi mendepani cabaran bakal dihadapi berikutan PAS adalah sebahagian daripada Perikatan Nasional yang menerajui pemerintahan ketika ini. – HARAKAHDAILY 14/3/2020