Pesakit Covid-19 Perlis stabil

KANGAR: Seorang pesakit yang disahkan positif Covid-19 di Perlis, kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah HTF di Kangar.

Advertisement

Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pengesahan itu dibuat Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri JKN Perlis, Dr Sirajuddin Hashim.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan meminta orang ramai untuk merujuk laman web Kementerian Kesihatan Malaysia KKM, dari masa ke semasa.

Dalam pada itu, Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man yang ditemui media pagi tadi memaklumkan, segala perkembangan mengenai Covid-19 akan diumumkan dalam satu sidang media pada Isnin ini, selepas memperoleh maklumat penuh dan terperinci dari JKN.

Mengulas hal berkaitan, Exco Kesihatan Negeri, Teh Chai Aan berkata, seluruh rakyat Perlis diminta menjaga kesihatan diri dengan mengelakkan kontak dengan orang yang disyaki berisiko.

Meskipun Perlis negeri yang bersempadanan dengan negara jiran, namun menurut Chai Aan keadaan masih lagi terkawal dan semua pihak diminta agar tidak panik.

Beliau juga menyarankan agar orang ramai tidak menyebarkan khabar angin yang boleh menimbulkan situasi mencemaskan.

  • HARAKAHDAILY 14/3/2020