Tahniah MP Kelantan dalam Kabinet: Purnama

Mesyuarat Agung Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (Purnama), 13 Mac. Foto: Rizal Tahir

KOTA BHARU: Mesyuarat Agung Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai Kanan Kerajaan Kelantan (Purnama) merakamkan ucapan tahniah kepada anggota Parlimen di negeri itu yang telah dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.

Rakaman ucapan tahniah itu dinyatakan Yang Dipertuanya, Datin Bentara Kanan, Siti Zabedah Abdul Hamid sewaktu merasmikan mesyuarat agong itu semalam.

Katanya, dua orang Anggota Parlimen dari PAS di negeri itu dilantik sebagai Menteri dan tiga orang lagi sebagai Timbalan Menteri.

Advertisement

Dua Menteri tersebut ialah, Ahli Parlimen Kubang Kerian, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar) dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Takiyuddin Hassan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang).

Manakala dua Timbalan Menteri, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (Timbalan Menteri Wanita dan Keluarga); Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan) dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri Agama).

“Perkembangan ini amat wajar disyukuri kerana ianya untuk kepentingan semua pihak di negara ini,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya yang perlu diingat bahawa apabila menjadi sebahagian dari kerajaan Persekutuan, pelbagai cabaran yang sukar harus dihadapi.

Ia kerana, sebagai isteri wakil rakyat turut akan terkena tempiasnya meskipun ia tidak secara langsung.

“Purnama bersiap siaga untuk mendepani situasi bersama barisan kepimpinan setelah pembentukan Muafakat Nasional,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/3/2020