UMMAH Pulau Pinang pasca-kerajaan baharu

MELIHAT kembali setahun penubuhan NGO UMMAH Pulau Pinang, sudah pasti perjalanannya penuh dengan cabaran dan dugaan. Dalam usia yang sebegini muda banyak permasalahan ummah telah didepani dan disantuni. Semuanya adalah hasil kesepakatan NGO-NGI yang dinaungi walaupun terdapat perbezaan dari segi halatuju,falsafah,misi dan visi perjuangan. Segalanya dapat dicerna dengan lunak atas suatu hasrat dan matlamat “Memperkasakan Kedaulatan Islam dan Ummah”.

Advertisement

Perubahan dan kejatuhan kerajaan persekutuan pada 24 Februari 2020 yang lalu amatlah mengejutkan semua pihak termasuk UMMAH Pulau Pinang. Namun begitu ianya tidak menjejaskan rentak perjuangan kami dalam meletakkan keutamaan sinar ummah di puncaknya yang sebenar. Fokus kami bukan sekadar ‘reaction’ NGO tetapi lebih besar dari itu membawa ‘fundamental’ yang jelas bagi membentuk modal insan yang berkembang, terarah dan berterusan untuk menjurusi perjuangan ummah yang besar ini, terutama di negeri Pulau Pinang yang amat mencabar.

UMMAH Pulau Pinang merafak sembah hormat dan akur dengan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, yang telah menggunakan bidangkuasa jelas baginda di bawah Artikel 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) perlembagaan persekutuan dalam menyelesaikan kemelut tersebut. Lupakan segala sengketa dan istilah negatif yang disebarkan. Marilah bersama kita menyokong pasukan kepimpinan YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam membentuk sebuah kerajaan ‘Good Governance‘ yang menjamin kesejahteraan untuk semua rakyat di Malaysia ini. UMMAH Pulau Pinang dan NGO-NGI yang lain sudah pasti akan terus berperanan sebagai gerakan semak dan imbang (check and balance) terhadap kerajaan, apatah lagi dalam semua isu atas kepentingan ummah.

Pasca situasi ini, semua kluster akan digerakkan seperti biasa dalam menangani segala persoalan ummah yang wujud dan perlu diberikan perhatian. Bantuan dan sokongan fizikal, mental dan spiritual daripada lebih 500 orang Sukarelawan UMMAH Pulau Pinang, amatlah diperlukan seperti mana yang telah diberikan sebelum ini. Fokus kami pastilah masih merujuk kepada beberapa permasalahan yang belum selesai sepenuhnya, iaitu isu Penang South Reclamation (PSR), jualan arak secara terbuka, isu penghinaan terhadap Islam dan perlembagaan negara serta institusi lain yang amat berleluasa. Semoga ada harapan jelas bagi semua persoalan tadi dan diharapkan lebih 4,817 orang nelayan yang terlibat dengan Projek PSR akan mendapat pembelaan yang sewajarnya. Pelantindak khusus akan terus digerakkan ke arah mencari jalan penyelesaian tersebut. Kami merasakan dengan kerjasama semua pihak serta komitmen Jabatan dan Kementerian dalam ‘kerajaan baharu’ ini, kemungkinan ada ‘sinar baru’ yang lebih terserlah.

Melihat kembali tahun 2019 yang lalu sudah pasti rakyat Malaysia juga amat terkesan dengan Kempen Buy Muslim First (BMF) yang digerakkan oleh Gerakan Pembela UMMAH Pusat dengan dibantu oleh UMMAH di setiap negeri. Kesannya amat positif dari segi perkembangan prasarana usahawan dan impak kepada peningkatan jualan yang mendadak. UMMAH Pulau Pinang telah mengambil langkah drastik menubuhkan Petugas Khas Kempen BMF yang dibantu oleh EXCO-EXCO Kluster Ekonomi. Sebanyak 5 Tahap Kempen telah kita realisasikan dengan jayanya. Grup BMF dan Grup Usahawan Masjid juga telah ditubuhkan bagi membantu misi ini. Seramai 800 orang usahawan telah  dikenalpasti dan dimasukkan ke dalam pangkalan data BMF UMMAH Pulau Pinang. Semua ini berjaya membawa kepada kerjasama erat dengan Koperasi Al-Hilal Malaysia Berhad (KOHILAL) dan pihak aplikasi atas talian ABATA. Ianya juga telah mendorong ke arah MoU pihak ABATA bersama Universiti Sains Malaysia (USM) yang telah ditandatangi pada tarikh 2hb November 2019 yang lalu. Pelancaran dan penerbitan Buletin Tanjung.my serta Aplikasi Tanjung Pages telah menguatkan lagi semua proses ini. Harapan kami, Kempen BMF ini harus diteruskan secara konsisten, fokus dan terancang bagi merangsang peningkatan ekonomi ummah serta dapat membantu jabatan dan kementerian yang terlibat dengan skop dan tanggungjawab tersebut agar lebih berkesan.

Sesungguhnya kemelut politik yang amat menekan minda dan jiwa rakyat Malaysia kelihatan telah berakhir. Ini adalah masa penting untuk kita memperbetulkan barisan dan memperkukuhkan pasukan. Kita harus bangun bekerja untuk kemakmuran keluarga, masyarakat, rakyat dan negara secara bersama dan istiqamah. Kesejahteraan ummah perlu diberikan perhatian, apatah lagi dengan cabaran Covid-19 yang meresahkan, penyusutan ekonomi yang ketara dan kenaikan inflasi yang mencabar. Kabinet Tan Sri Muhyiddin Yassin harus diberikan masa, peluang dan ruang untuk membuktikan kemampuan mereka. Harapan rakyat, kerajaan baru ini akan menegakkan keadilan ‘rule of law’ dalam setiap masa, berintegriti, inklusif, kompeten, beramanah dan bertanggungjawab dalam membangunkan negara Malaysia tercinta. Semoga Allah memberkati dan merahmati kita bersama.

“Memperkasa Kedaulatan Islam dan Ummah”

MOHD AKHIR CHE MAT
Pengerusi
UMMAH Pulau Pinang – HARAKAHDAILY 14/3/2020