Fokus beri khidmat terbaik kepada rakyat

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari meminta semua pihak menghormati keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan tidak membangkitkan pembahagian posisi dalam Kabinet.

“Saya berharap mana-mana pihak yang telah membentuk perikatan baru dalam kerajaan Malaysia ini tidak membangkitkan lagi soal pembahagian posisi dalam kabinet.

“Fokus sekarang ialah kepada memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat yang telah cukup tertekan dengan pelbagai situasi pada hari ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, soal pembahagian kerusi kabinet sewajarnya telah selesai dengan pengumuman Perdana Menteri minggu lepas.

Advertisement

Meskipun katanya, semua pihak berhak melontarkan pandangan tetapi kabinet telah pun diumumkan, keutamaan yang perlu difokuskan adalah bekerja untuk kepentingan rakyat.

Beliau yang juga Timbalan Dewan Pemuda PAS Malaysia, bagaimanapun percaya masih banyak ruang untuk dibangkitkan pandangan-pandangan tanpa perlu dipaparkan kepada rakyat.

Ia berikutan rakyat hari ini ingin tahu apa solusi yang ditawarkan dan apa langkah yang telah diatur, serta pencapaian yang telah berjaya dibuat.

“Jangan dibazirkan masa dengan berbahas berkenaan pembahagian jawatan kabinet. Jika dibahas, saya yakin banyak isu-isu dan persoalan-persoalan boleh timbul, dan rakyat terbanyak tidak mahu mendengar tentang itu.

“Hari ini, kita fikirkan poket dan perut rakyat. Ketepikan dulu isu-isu lain. Kita telah berjaya menukar kerajaan pro-DAP yang mencetuskan kebimbangan rakyat, itulah kejayaan yang sangat besar,” ujarnya.

Menurutnya, di tengah-tengah ancaman COVID-19 ini, bukan masanya lagi untuk bercakap soal pembahagian jawatan Kabinet.

Berikutan itu, beliau mengharapkan semua pihak dalam kerajaan baharu ini dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin kerana negara ini milik Allah bukan milik mana-mana individu.

“Itu harapan saya, saya yakin itu juga harapan rakyat. Untuk saya, teman-teman seperjuangan dan rakan-rakan semuafakat,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2020