Kelantan perlu fokus siapkan infrastruktur utama negeri

PERALIHAN Kerajaan Persekutuan dari Pakatan Harapan (PH) kepada  Perikatan Nasional (PN) membuka lambaran baharu hubungan Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Advertisement

Kelantan yang ditadbir PAS selama 30 tahun bukan lagi negeri pembangkang. Seperti kerajaan negeri lain yang baru dibentuk, ianya menjadi sebahagian Kerajaan Persekutuan dengan PAS sebagai salah satu parti yang menubuhkan Kerajaan PN.

Lambaran baru ini membuka peluang yang luas bagi Kelantan untuk melebarkan capaian ekonominya.

Kelantan juga amat bertuah jika dilihat jumlah Menteri yang dilantik dalam Kabinet, 6 orang Menteri berasal dari Kelantan telah menjadi sebahagian dari jamaah Menteri yag membuat dasar negara.

Sudah semestinya ia menjadi kekuatan dan daya saing baharu bagi negeri ini serta menambah suara dan kuasa tawar menawar dalam pembahagian kek ekonomi negara.

Justeru, METRA menggesa supaya Kerajaan Negeri memberi fokus dalam tempoh singkat ini untuk menyiapkan semua infrastruktur utama negeri dengan menyusun strategi tepat  bagi mencapai objektif tersebut.

Infrastruktur Kelantan telah lama ketinggalan dan menyebabkan pertumbuhan ekonomi tidak sepantas pantai barat semenanjung. Ini juga menjadi asas utama kepada justifikasi kenapa Kelantan perlu diberi perhatian yang lebih.

Menteri-menteri yang dilantik perlu mainkan peranan proaktif tanpa mengira parti untuk naikkan taraf infrastruktur utama negeri.

Lebuh raya yang dirancang seperti Lebuh Raya Kuala Krai-Kota Bharu, lebuh raya antai dari Tok Bali ke Tumpat, pelebaran Lebuh Raya Timur Barat dari Pasir Puteh ke Grik perlu dibina segera utk melengkapkan jaringan lebuh raya di seluruh negeri yang sudah tentu menjadi pemangkin dan (economic spinner) yang berkesan.

Begitu juga dengan projek game changer iaitu ECRL yang melalui Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh untuk menyokong pertumbuhan atmosfera perniagaan negeri yang lebih baik dengan adanya sistem pengangkutan yang pantas dan murah.

Aktiviti ekonomi dari usahawan tempatan perlu dinaiktaraf serta disokong untuk memanfaatkan kecekapan sistem pengangkutan ini.

Projek naiktaraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pengkalan Chepa perlu mendapat sokongan Kementerian Pengangkutan supaya Kota Bharu menjadi hub-udara baru di rantau ini seterusnya merancakkan sektor pelancongan yang terjejas akibat wabak Covid-19 dalam dekad akan datang.

Formula tepat juga hendaklah diusahakan supaya Pelabuhan Antarabangsa Tok Bali menjadi kenyataan bagi menjana pertumbuhan baru Kelantan Timur d Bachok dan Pasir Puteh dan menyokong aktiviti perdagangan laut yang sangat strategik di Laut China Selatan.

Kawasan Kelantan Timur yang terbabit perlu ada usaha persediaan supaya semua sektor sokongan seperti kawasan industri dan teknologi terkini diadakan serentak dengan pembesaran Pelabuhan ini.

Kelantan perlu menempatkan diri dalam perebutan hak penguasaan Laut China Selatan oleh kuasa besar dunia bagi menadah limpahan ekonomi (spill over) yang terjana pada dekad akan datang.

Ini ditambah pula dengan potensi cadangan projek pembelahan Segenting Kra di Thailand yang akan mengubah lanskap ekonomi dan geopolitik rantau Indochina. Peluang ini mesti direbut dengan membuat persediaan secukupnya.

Wang royalti yang mula diterima hasil doa dan airmata rakyat perlu digunakan sebaiknya bagi dijadikan (initial capital) modal awal dalam semua potensi yg akan berlaku dalam dekat terdekat. Tenaga pakar perlu dipanggil dan digembling utk menghasilkan plan strategik Kelantan untuk 50 tahun akan datang serta mencari tokoh sesuai untuk melaksanakannya.

Bakat muda dari kalangan profesional hendaklah dicari, ditapis dan digilap supaya pengurusan bakat (talent management) dari anak Kelantan diurus sebaiknya dan  ia menjadi sumber tenaga utama negeri bagi meletakkan Kelantan di peta dunia dalam semua perancangan strategik yang dibuat.

GLC Kelantan seperti PMBK dan PKINK juga perlu mula mencari potensi d luar terutama di Lembah Klang dan di sektor antarabangsa supaya formula terbaik untuk melipatgandakan keuntungan dari modal wang royalti dan sumber asli yang ada di negeri ini diwujud dan dilaksanakan.

Sekian.

IR ARIFFAHMI AB RAHMAN
Pengerusi METRA
Malaysian Executives and Technocrat Alliance
(Ikatan Eksekutif dan Teknokrat Malaysia) – HARAKAHDAILY 15/3/2020