Khalid Samad jangan biadab: Ustaz Idris

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan kenyataan bekas Menteri Wilayah, Khalid Samad terhadap Presiden PAS sangat biadab dan melampaui akhlak sebagai seorang Muslim.

Ia berikutan, tersebar video Khalid dalam satu wawancara menyifatkan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai ‘tidak center’ (tidak berapa betul).

Khalid ketika itu diminta untuk menjawab soalan terhadap kenyataan Presiden PAS mengenai PAS adalah model politik Islam yang boleh dicontohi oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, sekali pun beliau (Khalid) tidak mahu menghormati Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Presiden PAS, tetapi hormatlah sebagai seorang ilmuan agama terkenal.

Advertisement

“Ini sudah pun melampaui batasan budaya bukan sahaja akhlak Islam, malahan akhlak tatacara adat Melayu pun tidak menepati dengan sikap yang ditunjukkan oleh beliau.

“Kalau pun tidak suka janganlah sampai menggunakan bahasa yang tidak layak dilabelkan kepada seorang tuan guru (Abdul Hadi).

“Tuan guru tak pernah pun menyebut apa-apa kepada beliau dari segi serangan peribadi, kenapa beliau sanggup (kata) sampai peringkat begitu rupa,” katanya kepada Harakahdaily.

Sedangkan katanya, Khalid yang dahulu pernah melalui proses tarbiyah bersama PAS sejak dari muda sampai keluar parti itu tahun 2015, sehingga beliau sanggup bersikap demikian.

“Ini amat dikesali kerana saya sendiri selaku orang yang amat kenali beliau ketika bersama PAS,” ujarnya.

Ditanya mengenai kenyataan Khalid yang mengatakan kalau mahu belajar politik Islam perlu jauhi PAS, Idris berkata, “takkan nak belajar dengan DAP pula”.

“Kalau dengan PAS tidak boleh (belajar politik Islam), adakah nak kena belajar politik Islam dengan DAP,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 15/3/2020