PAAK, Armada santuni media Kelantan

KOTA BHARU: Persatuan Ayahanda Anakanda Malaysia (PAAK) dengan kerjasama Pemuda BERSATU (Armada) Pasir Mas, menjadi pihak pertama yang membekalkan topeng muka dan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer) kepada pihak media Kelantan.

Sumbangan berkenaan disampaikan kepada ahli Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) pada majlis yang berlangsung di Kota Bharu, hari ini.

Sebanyak 200 cecair hand sanitizer tersebut diserahkan kepada Presiden Kemudi, Shahnon Hanif Abdullah Suhaimi dan timbalannya, Zabidi Ishar.

Advertisement

Sumbangan cecair hand sanitizer dan topeng muka berkenaan sebagai langkah berjaga-jaga bagi menghadapi wabak COVID-19.

Presiden PAAK, Dato’ Seri Suzainal Adnan Sukri, berkata sumbangan berkenaan diberikan memandangkan pihaknya sedar tugas wartawan yang mudah terdedah dengan pelbagai kemungkinan termasuk COVID-19.

Menurutnya, ia berikutan Kelantan juga turut tersenarai antara negeri yang berhadapan dengan wabak itu.

“Sumbangan ini adalah fasa pertama dan kami berhasrat untuk mengagihkannya kepada orang awam kelak.

“Usaha ini dibuat sebagai memudahkan urusan orang awam yang sukar mendapatkan bekalan tersebut (topeng muka dan hand sanitizer),”ujarnya.

Hadir sama, Ketua Armada Bahagian Pasir Mas, Dato’ Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz serta lebih 20 orang pengamal media daripada pelbagai agensi di Kelantan.

Suzainal turut menasihatkan kakitangan media mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan segala saranan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Shahnun Hanif merakamkan penghargaan atas keprihatinan itu.

Menurutnya, pemberian itu begitu bermakna memandangkan pihak media sering terdedah dengan bahaya yang tidak dijangka.

“Tambahan pula, isu COVID-19 kini sudah sampai ke Kelantan, namun kami akan menjalankan tugas sebagaimana biasa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/3/2020