COVID-19 dan keimanan kita

SAYA ingin berkongsi beberapa persoalan dengan anda berkenaan ujian yang melanda bukan sahaja Malaysia, malahan dunia juga. Isu ‘lockdown’, isu solat Jemaah, solat Jumaat, perhimpunan awam, fatwa-fatwa, jemaah Tabligh, pengorbanan kakitangan hospital, keputusan kerajaan dan paling utama ialah di mana kedudukan kita dalam membicarakan persoalan ini.

Untuk soalan-soalan ini, hanya anda yang dapat menjawabnya, tiada jawapan disediakan dan jawablah secara jujur:

(1) Adakah firman Allah secara khusus terhadap isu yang melanda ini?
(2) Adakah sebarang pesanan dari Rasulullah terhadap situasi begini?
(3) Adakah tauladan dari tindakan Sahabat terhadap hal ini?
(4) Adakah rukhsah terhadap manusia jika berlaku sebarang bencana?
(5) Adakah mati dalam solat sahaja dikira mati yang mulia?
(6) Adakah akan diberi pahala yang sama jika ada sesuatu halangan untuk kita melakukan ibadat rutin?
(7) Pernahkah Rasulullah menolak untuk diubati?
(8) Pernahkah Rasulullah mencari ‘penyakit’?
(9) Adakah ayat al-Quran yang melarang kita mencampakkan diri dalam bahaya?
(10) Jika kita tetap mencampakkan diri dalam kebinasaan setelah tahu dan tanpa alasan syarie, adakah kita boleh berkata, ini adalah takdir Allah?
(11) Adakah rasa takut dan berjaga-jaga terhadap penyakit itu dikira syirik kerana tidak takutkan Allah?
(12) Pernahkah seorang Nabi merasa takut terhadap ancaman makhluk?
(13) Adakah kita mendengar sama ada ulamak, Menteri Agama atau mufti-mufti berkelahi dalam FB untuk menyalahkan satu sama lain dalam isu ini?
(14) Pernahkah anda mendengar atau membaca bab harap dan takut?
(15) Pernahkah anda dengar berkenaan solat ‘khauf’?
(16) Mengapa dinamakan khauf dan ketika sebahagian jemaah berpindah rukun, jemaah yang lain bersedia terhadap musuh?
(17) Bukankah mereka musuh Allah, jadi kenapa takut?
(18) Bolehkah kita tidak mahu mengikut fatwa mufti?
(19) Manakah yang lebih baik, membuat bising atau mendiamkan diri bila kita memilih berbeza dari fatwa?
(20) Berpahalakah kakitangan hospital yang berkerja keras mencari golongan yang berisiko membawa virus untuk menyekat wabak atau kerja mereka sia-sia kerana ada yang menuduh takut wabak merebak, bukan takut kepada Allah?
(21) Bolehkah alkohol digunakan sebagai pencegah kuman?
(22) Apa jaminan tempat ibadat tidak terkena jangkitan?
(23) Apakah kaitan kebersihan dan iman?
(24) Sehebat manakah iman kita dengan memperlekehkan keimanan orang lain dalam hal furuk?
(25) Adakah diajar Islam mengenai usaha dan tawakal?
(26) Adakah kita bising di media sosial kerana mahu menunjukkan kehebatan kita?
(27) Sejauh manakah anda telah mendapat maklumat mengenai bahaya penyakit ini? Adakah pihak berautoriti memberikan anda segala maklumat dengan terperinci? Atau anda hanya mendapatnya dari media sosial?
(28) Apakah dengan kononnya tersangat kuat iman kita itu, maka Allah menjamin kita tidak mendapat sakit?

Advertisement

Cubalah jawab soalan-soalan yang saya tanyakan ini. Jika anda tidak berjaya menjawab, atau tidak tahu di mana mahu mencari jawapan, lebih baik diamkan diri, kerana berkata baik atau diam itu disuruh oleh Rasulullah.

Jika anda tahu jawapannya dan masih mahu berkelahi, maka lihatlah kembali soalan saya nombor 13 sebagai rujukan.

Dan jika anda tahu dan faham benar dengan soalan-soalan serta perincian jawapannya, maka saya yakin anda akan berdiam diri dan melakukan ibadat dengan senang hati walau apapun fatwanya.

Dibimbangi orang yang bising di media sosial dengan saling menyalahkan sesama sendiri ketika keadaan meruncing ini, tidaklah lebih daripada mahu menunjukkan keimanannya dan keilmuannya yang kononnya lebih tinggi. Tidak kira anda menyebelahi siapa kerana ianya tidak membantu keadaan.

Bertakwalah kepada Allah. Biarkan ulamak yang membimbing kita bukan sebaliknya. Kita boleh memilih untuk patuh kepada fatwa ulamak yang kita yakini, tetapi dengan mulut dan jari yang dikunci. Semoga Allah mengampuni dosa dan menerima ibadat kita. InsyaAllah amiin.

MOHD NASIR ABDULLAH
16 Mac 2020 – HARAKAHDAILY 16/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.