Kredit kepada Mujahid

AKU memberi kredit kepada Mujahid kerana dia mendakwa kejayaan memberikan hibah TH yang lebih tinggi dari tahun lepas (walau jauh lebih rendah dari tahun-tahun sebelum ini) adalah kerana usahanya yang betul.

Advertisement

Dia kemudiannya membebel lagi, iaitu dengan pelan pemulihan TH yang dilakukan, dibawah kementeriannya maka TH mempunyai nilai aset yang lebih, dan ianya mematuhi akta TH untuk mengeluarkan hibah kepada pendeposit.

Berbagai lagi terma-terma ekonomi yang ditulis, dengan sejarah, fakta dan segalanya, aku terpaksa akur dengan kesungguhan beliau memulihkan TH yang beliau dakwa sangat teruk dikerjakan oleh BN dahulu. Ia adalah antara kejayaan terbesar PH, dakwanya.

Akan tetapi beliau lupa satu hukum dalam politik, iaitu apabila beliau dibenci, tulislah apa pun, hebahkan lah apa pun, uar-uarkan lah semua kebaikan, maka kebencian akan menduduki barisan hadapan dalam menilai. Ianya menjadi sia-sia.

Inilah yang kamu lakukan terhadap BN dan PAS ketika kempen kamu dahulu. Kempen kebencian. Bagaikan PAS dan BN tiada sekelumit kebaikan. Ya kamu berjaya menimbulkan kebencian dengan fitnah dan kamu menang. Sekarang, kebencian itu, kembali kepada kamu.

Maka ingat balik hukum berpolitik yang kamu laksanakan dahulu, kamu itu dibenci orang, buatlah apa pun, orang sudah benci. Dan paling malang, kamu masih mengulangi cara kebencian itu sekarang, sebagai pembangkang, seperti dahulu.

Dan, kita menunggu RCI bagi TH, untuk menjelaskan kekeliruan terhadap pendeposit. Tuduhan tanpa mendakwa, apatah lagi ketika menjadi kerajaan adalah sangat mengecewakan. Ada peluang perundangan, tetapi memilih media sosial sebagai mahkamah.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 16/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.