MTUC syor k’jaan tubuh EAC, bantu para pekerja

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merayu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Kecemasan (EAC) COVID-19 untuk menangani isu-isu berkaitan secara komprehensif.

Menurut Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, sudah pasti cabaran utama Jemaah Menteri adalah untuk menangani impak ekonomi dan kesihatan ke atas rakyat Malaysia termasuk 15 juta warga pekerja akibat pandemik COVID-19 yang kian meruncing.

“Pihak kami turut menyarankan supaya EAC dipertanggungjawabkan dengan tugasan menggubal pakej rangsangan COVID-19 baharu yang memberi penekanan kepada menangani masalah kewangan dan kesihatan yang menghimpit pekerja.

Kedua, memastikan pekerja tidak menjadi mangsa apa-apa tindakan drastik oleh majikan dengan memperalatkan kesuraman ekonomi semasa. Ketiga, memastikan pakej rangsangan baharu diagihkan secara adil mengikut keperluan majikan dengan syarat mereka meletakkan kebajikan pekerja sebagai keutamaan.

Keempat, menerbitkan buku panduan rasmi mengenai langkah-langkah penjagaan diri dan di tempat kerja bagi mengelakkan jangkitan COVID-19. Buku panduan ini hendaklah dijadikan sumber rujukan utama dan bertujuan mengelakkan kekeliruan dan nasihat bertindih oleh pelbagai agensi awam,” ujarnya hari ini.

Selain itu, MTUC dalam kenyataan sama juga telah mengemukakan empat cadangan untuk diterapkan dalam pakej rangsangan ekonomi COVID-19 baharu demi mengurangkan beban kewangan pekerja dan rakyat amnya.

Advertisement

Iaitu pertama, pihak bank menangguhkan pembayaran ansuran pinjaman perumahan, pinjaman pendidikan dan kenderaan tanpa mengenakan sebarang penalti ke atas pinjaman B40 dan M40 bagi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan bermula April 2020.

Kedua, semua penerima kebajikan termasuk PERKESO mesti diberi bayaran sekali sebanyak RM500, dan ketiga, semua pesara dalam kumpulan B40 dan M40 juga diberi bayaran sekali sebanyak RM500, serta keempat, semua pekerja yang bergaji di bawah RM4,000 diberi bayaran sekali sebanyak RM1,000.

“Kami di MTUC yakin pihak YAB Tan Sri akan memberikan pertimbangan wajar kepada segala cadangan yang dikemukakan ini.

“Kami turut sekali lagi menzahirkan komitmen untuk membantu kerajaan membanteras penularan COVID-19 dan menangani impaknya ke atas rakyat, khususnya pekerja negara ini. – HARAKAHDAILY 16/3/2020