Perikatan Nasional bukan kerajaan pintu belakang

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj bertitah tohmahan berkaitan pembentukan kerajaan Persekutuan sebagai sebuah kerajaan pintu belakang atau satu rampasan kuasa adalah tidak tepat sama sekali.

Ini berikutan, titah baginda yang mengikuti perubahan tampuk pemerintahan kerajaan Pesekutuan yang diterajui oleh kerajaan Perikatan Nasional bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan.

“Beta sendiri telah mengikuti perkembangan perubahan kuasa tersebut yang dilaksanakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan cukup berhati-hati dan selepas perundingan yang teliti dan terbuka diadakan, selaras dengan peruntukan yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Advertisement

“Ia hendaklah segera dihentikan kerana Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara Baginda sebagaimana yang diperuntukan di dalam undang-undang,” titah baginda.

Baginda bertitah pada istiadat pembukaan persidangan penggal ke-13 Dewan Negeri Selangor ke-14, 2020 di Shah Alam, hari ini.

“Beta tidak mahu ada di kalangan Ahli-Ahli Yang Berhormat mempunyai hasrat dan niat untuk mengucar-kacirkan pentadbiran dan pemerintahan Negeri Selangor ini.

“Beta mahu Ahli-Ahli Yang Berhormat berusaha di dalam memastikan kestabilan politik di negeri Beta sentiasa terpelihara demi kesejahteraan rakyat Beta di Selangor,” titah baginda.

Titah baginda lagi, walaupun kerajaan Negeri Selangor diterajui oleh kerajaan Pakatan Harapan namun demi kelangsungan pembangunan ekonomi dan kemakmuran rakyat negeri Selangor, baginda berharap satu kerjasama yang erat dapat dijalinkan di antara kerajaan Negeri Selangor dan kerajaan Persekutuan.

“Beta tidak mahu disebabkan perbezaan tampok pemerintahan dan ideologi politik akan menyebabkan rakyat negeri Selangor terpinggir di dalam arus pembangunan ekonomi dan sosial.

Beta sedar, dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, Institusi Raja tidak sepatutnya dilihat terlibat secara langsung dengan isu-isu yang berkaitan dengan politik dan seharusnya kekal sebagai sebuah badan yang mengatasi politik ‘above politics’,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 16/3/2020