Pusat Sains dan Planetarium Negara ditutup sementara

KUALA LUMPUR: Pusat Sains Negara Kuala Lumpur (PSN) dan Planetarium Negara (PN) hari ini diarahkan tutup buat sementara waktu berikutan penularan jangkitan Coronavirus (COVID-19)

Arahan tersebut dikeluarkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan media kementerian itu hari ini.

Dalam kenyataan itu dinyatakan bahawa Pusat Sains Negara Kuala Lumpur dan Planetarium Negara ditutup sementara sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak dalam usaha membendung kemungkinan jangkitan COVID-19.

Advertisement

Ia sebagai langkah berjaga-jaga terutama ketika musim cuti sekolah, Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin, turut mengarahkan agar PSN dan PN tidak menerima kunjungan dari orang ramai mulai awal pagi ini.

“Semua warga MOSTI termasuk PSN dan PN diingatkan agar mematuhi sepenuhnya ‘Standard Operating Procedure’ (SOP) pengawalan penularan jangkitan Coronavirus 2019 (COVID-19) yang dikeluarkan oleh KKM,” kata kementerian dalam kenyataan tersebut.

Penjagaan kesihatan diri yang baik juga perlu diamalkan oleh semua pihak pada setiap masa dan sekiranya mengalami gejala jangkitan, diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran atau Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan.

Jelasnya, perkembangan terkini jangkitan COVID-19 boleh diperoleh melalui laman web rasmi KKM.

MOSTI mengambil berat penularan COVID-19 dan akan bekerjasama rapat dengan KKM dalam mendepani gejala ini.– HARAKAHDAILY 16/3/2020