Sistem Jizyah, Negara Islam dan WINS2051

JIZYAH

(1) Sebelum ini saya pernah mencadangkan sebuah institusi yang menguruskan bab Jizyah. Sama ada nak diletakkan di bawah Majlis Agama Islam, atau tidak, itu boleh difikirkan.

Jizyah diambil daripada orang-orang kafir yang kaya, dan berkemampuan. Sekadar cadangan sebagai satu solusi untuk membantu ekonomi negara.

(2) Dalam bab Jizyah, kita perlu faham bahawa zakat adalah ketetapan daripada Allah. Manakala jizyah pula diserahkan kewajipannya kepada pemerintah.

Terpulang sama ada hendak mengutip jizyah ataupun tidak. Ia tertakluk kepada kemaslahatan yang diperhatikan oleh pemerintah. Begitu juga kadarnya.

Advertisement

(3) Zaman pemerintahan Saidina Umar bin Al-Khattab, beliau telah mengambil jizyah dari mereka yang kaya sebanyak 48 Dirham dari mereka yang pertengahan sebarang 24 Dirham dan dari orang yang bawah dari kadar pertengahan sebanyak 12 Dirham.

Ada yang menyatakan bahawa jizyah ialah bayaran daripada orang kafir kepada Negara Islam yang memberi perlindungan. Lantas mereka mempersoalkan kedudukan Negara Islam.

Ya, sememangnya ia ada kaitan. Dalam bab ini terserah kepada kepimpinan negara untuk membina negara yang terlaksana padanya nilai-nilai hidup Islam.

(4) Di dalam Perlembagaan PAS, Fasal 5, Tujuan PAS ialah;

Memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah.

Negara Islam

(1) Para amilin PAS mesti bergerak ke arah membina sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya.

Perlu mempunyai cita-cita ke arah itu, dan berusaha di ruang gerak kerja masing-masing. Masyarakat dan pemerintahan yang menjadi cita-cita itu, tidak tertegak dengan air liur semata-mata.

(2) Hakikatnya tanpa sedar, sebenarnya banyak dasar-dasar negara agak selaras dengan Islam. Cuma perlu adjust beberapa perkara sahaja lagi, dan mungkin boleh dilaksanakan beransur-ansur (مراعات التدرج).

Di dalam السياسة الشرعية Syeikh Yusuf al-Qaradawi menyatakan bahawa salah satu daripada bentuk فقه التغيير (mengubah) ialah secara beransur-ansur.

Antara contoh yang diberikan oleh beliau ialah pengharaman arak ketika di zaman Rasulullah S.A.W, yang diturunkan secara beransur-ansur.

(3) Sesebuah negara itu terbina daripada tiga asas, iaitu penduduk, tempat dan kekuasaan. Untuk menjadikan Malaysia sebagai Negara Islam, Islam perlu berkuasa. InsyaAllah perkara ini akan dibahaskan dalam artikel lain.

Apa yang kita lontarkan ialah satu cita-cita dan strategi untuk menjadikan negara Malaysia sebagai sebuah negara terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya.

Kita juga perlu sedar bahawa PAS cuba membawa penyelesaian isu-isu negara secara Islam. Dalam semua cabang, termasuklah ekonomi dan sosial.

Cabaran semasa

(1) Ekonomi negara berada di paras yang perlu diperbaiki sedikit demi sedikit, ke arah pengurusan ekonomi secara Islam. Begitu juga sosial. Tulisan ini sekadar idea untuk difikirkan bersama.

Apa yang pernah digariskan oleh PAS melalui Dokumen Hijau, WINS2051, BPMS perlu dijadikan ‘method’ untuk membina negara dan memperbaiki sistemnya.

(2) Mungkin kali ini PAS tidak punyai kuasa mutlak untuk melakukannya, tetapi ruang itu agak terbuka. Mungkin didahului dengan perbanyakkan penerangan mengenai sistem-sistem Islam bagi mencuci karat Sekular.

Sepertimana tulisan-tulisan saya sebelum ini berkaitan dengan solusi, lebih menjurus kepada penyelesaian masalah ekonomi cara Islam, sekalipun tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

(3) PAS seolah-olah diberi masa hingga PRU15 yang dijangka 2 tahun setengah lagi untuk menterjemahkan Islam sepertimana yang dipromosikannya selama ini.

Sekiranya gagal kejar dalam tempoh ini, bimbang ia menjadi modal untuk dibahankan. Sekalipun PAS hanya pegang 3 Menteri sahaja, tetapi ia menjadi perhatian.

(4) Tekanan pihak yang ‘baru’ jadi pembangkang, bersama saraf-saraf mereka difokuskan kepada PAS. Mungkin mereka melihat peranan PAS yang menyatukan orang Melayu Islam.

Bahkan konsep ini selaras dengan kaedah politik Islam. Contohnya huraian maksud hadis الأئمة من قريش yang meletakkan kepimpinan itu mesti dari kalangan kelompok yang mendominasi.

WINS2051

(1) Antara cadangan PAS menuju Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051) yang dilakarkan dalam PRU14, membahagikan kepada 3 fasa.

Fasa pertamanya ialah Transformasi Negara Sejahtera meletakkan beberapa kunci pencapaian;

(a) Pengukuhan akal dan rohani (nilai takwa dan Insaniah).

(b) Keharmonian dan berkebajikan.

(c) Ketelusan, kecekapan, kebertanggung-jawaban urus tadbir (Governance dan Accountability).

(d) Keadilan dan kelestarian sumber (Sustainability).

(e) Keberkesanan pembinaan insan.

(f) Keselamatan dan kesejahteraan awam.

(2) Di dalam Islam telah menyediakan dasar terhadap kesemua sistem. Contohnya pengukuhan akal dan rohani, Islam menganjurkan untuk berfikir.

Islam menyediakan rangka berfikir yang betul, dan juga menyuburkan nilai kerohanian melalui dakwah dan penerangan yang berterusan dalam apa jua sektor.

(3) Dalam sektor perubatan contohnya, menerapkan kefahaman terhadap beberapa hadis Nabi S.A.W dalam mengekang penularan virus sepertimana sistem kuarantin yang disebut di dalam hadis.

Sistem kuarantin yang dianjurkan oleh Baginda S.A.W ini, tidak dipraktikkan ketika zaman PH, menyebabkan wabak tersebut masuk ke negara kita.

Membina keharmonian

(1) Dalam aspek keharmonian contohnya, Islam meletakkan sistem تعارف ;

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Yang dimaksudkan dengan لتعارفوا ialah saling berkenalan, saling bantu membantu dan saling memerlukan antara satu sama lain. Elemen perbezaan ini tujuannya ialah untuk menyatukan.

(2) Dalam sejarah manusia, mereka bergaduh kerana berlainan warna kulit, berlainan bahasa, berlainan asal-usul, berlainan kabilah dan sebagainya.

Justeru, Islam menganjurkan supaya perbezaan itu menguatkan lagi keharmonian. Dengan menggunakan sistem taaruf, contohnya bergabung kebolehan.

(3) Hal ini disaksikan dalam Sirah Nabi S.A.W apabila pandangan Salman Al Farisi diambil kira oleh Baginda S.A.W untuk membuat parit besar mengelilingi Madinah sekalipun asal-usulnya adalah Parsi.

Contoh di Malaysia, kepelbagaian bangsa di negara ini boleh diinovasikan menjadi sebuah kemakmuran. Kelebihan yang ada pada pelbagai bangsa boleh dimanfaatkan.

(4) Di dalam kitab Muqaddimah Ibnu Khaldun ada menceritakan mengenai bandar dan kampung. Perbezaan kedua-duanya membentuk cara pemikiran yang berbeza.

Contohnya orang kampung membekalkan getah, getah diproses di bandar untuk dieksport ke luar negara. Maka orang bandar harus memastikan harga getah sentiasa naik bagi memelihara survival orang kampung.

Oleh: MUHAMMAD MUJAHID IR HJ MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 16/3/2020