Covid-19: 2 kematian, catat 673 kes positif

KUALA LUMPUR: Dua kes kematian melibatkan wabak jangkitan Covid-19 direkodkan di Malaysia petang tadi.

Menurut Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dua kes terbabit merupakan kes ke-178 dan 358.

Kes ke-178 merupakan seorang lelaki warganegara berumur 34 tahun yang hadir pada perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Febuari hingga 1 Mac lalu.

Advertisement

Beliau dipercayai bergejala mulai 5 Mac dan dirawat di Hospital Permai pada 12 Mac selepas positif Covid-19.

Keadaan beliau merosot dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan beliau disahkan meninggal dunia pada hari ini.

Sementara itu, kes ke-358 juga merupakan seorang lelaki warganegara berumur 60 tahun dan mempunyai sejarah penyakit kronik.

Beliau mula bergejala pada 7 Mac dan dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac setelah positif Covid-19.

Kedua-dua kes masing-masing disahkan meninggal dunia pada hari ini.

Setakat jam ini, keseluruhan kes positif Covid-19 di Malaysia mencatatkan 673 kes dengan penambahan 120 kes baru.

95 daripada kes baru itu dipercayai berkait dengan kes kluster perhimpunan Ijtimak Tabligh di Masjid Sri Petaling.- HARAKAHDAILY 17/3/2020