Mengapa lafaz azan berubah?

DENGARKAN video ini. Ia dikatakan lafaz azan yang dilaungkan di Kuwait yang mempunyai ungkapan yang sedikit berbeza dengan apa yang biasa kita dengar. Pada kebiasaannya, kita selalu mendengar bilal melaungkan ungkapan ‘Hayya ‘Ala Solah’ (marilah menunaikan solat). Namun ketika musim wabak ini berlaku, lafaz tersebut telah ditukar kepada ‘Sollu fi Buyutikum’ (solatlah di rumah kamu).

Pada hakikatnya, apa yang dilakukan oleh sebahagian masjid di tanah Arab ini mempunyai sandarannya daripada hadis Nabi. Perkara ini direkodkan oleh al-Imam al-Bukhari yang menyatakan:

Advertisement

‏أَذَّنَ ‏ابْنُ عُمَرَ ‏‏فِي لَيْلَةٍ بَارِدَةٍ ‏ ‏بِضَجْنَانَ ،‏ ‏ثُمَّ قَالَ : صَلُّوا فِي ‏رِحَالِكُمْ ‏، ‏فَأَخْبَرَنَا أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏كَانَ يَأْمُرُ مُؤَذِّنًا يُؤَذِّنُ ، ثُمَّ يَقُولُ عَلَى إِثْرِهِ ‏‏: ” أَلَا صَلُّوا فِي ‏‏الرِّحَالِ ‏” فِي اللَّيْلَةِ الْبَارِدَةِ أَوْ الْمَطِيرَةِ فِي السَّفَرِ

“Saidina Abdullah bin Umar pernah melaungkan azan pada malam yang sejuk di satu kawasan bernama Dajnan. Kemudian (dalam azan itu) Ibn Umar melafazkan: “Sollu Fi Rihalikum (Solatlah di rumah atau kenderaan kamu).” Kemudian dia memaklumkan kepada kami bahawa Rasulullah pernah mengarahkan para muazzin (bilal) untuk mengucapkan lafaz seperti demikian pada malam yang sejuk atau ketika situasi hujan yang sangat lebat ketika permusafiran.”

(HR al-Bukhari)

Dalam hadis yang lain pula Abdullah bin Abbas turut memberikan petunjuk yang sama. Cuma lafaz yang digunakan oleh Abdullah bin Abbas sedikit berbeza dengan ungkapan yang dilaungkan oleh Abdullah bin Umar. Andai sekiranya Abdullah bin Umar melaungkan perkataan ‘Sollu Fi Rihalikum,’ Abdullah bin Abbas pula menggunakan lafaz ‘Sollu Fi Buyutikum’ (solatlah di rumah kamu).

Perkara ini direkodkan oleh al-Imam al-Bukhari yang menyebutkan:

عَنْ ‏عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَبَّاسٍ ‏‏أَنَّهُ ‏قَالَ لِمُؤَذِّنِهِ فِي يَوْمٍ مَطِيرٍ : إِذَا قُلْتَ : أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ ، أَشْهَدُ أَنَّ ‏ ‏مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ‏، ‏فَلَا تَقُلْ : حَيَّ عَلَى الصَّلَاةِ ، قُلْ ‏: ‏صَلُّوا فِي بُيُوتِكُمْ ، قَالَ : فَكَأَنَّ النَّاسَ اسْتَنْكَرُوا ذَاكَ فَقَالَ : أَتَعْجَبُونَ مِنْ ذَا ، قَدْ فَعَلَ ذَا مَنْ هُوَ خَيْرٌ مِنِّي…

“Daripada Abdullah bin Abbas sesungguhnya beliau pernah berkata kepada tukang azan pada hari hujan yang sangat lebat: Setelah engkau mengucapkan ‘Asyhadu Anna Muhammadan Rasulullah’ maka janganlah engkau sebutkan ‘Hayya ‘Ala Solat’ tetapi ucapkanlah ‘Sollu Fi Buyutikum.’ Para pendengar ketika itu seakan terkejut dan membantah. Lalu Abdullah ibn Abbas berkata: Apakah kamu terkejut? Sesungguhnya perkara ini pernah dilakukan oleh orang yang lebih baik dariku (iaitu Rasulullah).”

(HR al-Bukhari)

Kelonggaran dalam urusan ibadah serta perubahan lafaz azan ini menggambarkan betapa Islam adalah agama yang sangat praktikal. Islam bukanlah agama yang jumud dan rigid sehingga menyukarkan hidup manusia, jauh sekali untuk mendedahkan ancaman kepada nyawa.

Benarlah apa yang disabdakan oleh Rasulullah bahawa agama ini akan dipersembahkan dalam bentuk yang mudah yang tidak membebankan manusia. Sabda Baginda:

إن خير دينكم أيسره

“Sesungguhnya sebaik-baik (urusan) agama kamu adalah yang paling mudah.”

(HR Ahmad)

Semoga Allah membimbing kita.

DR. AHMAD SANUSI AZMI – HARAKAHDAILY 17/3/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.