Pejabat Kerajaan Negeri Kelantan tutup mulai esok

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Mohd Amar Abdullah ketika ditemui media selepas Mesyuarat Exco di Kota Darul Naim hari ini. Foto: Rizal Tahir

KOTA BHARU: Orang ramai diminta jangan panik untuk membeli barangan keperluan harian sehingga habis barangan mahu diborong.

Advertisement

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, arahan dikeluarkan oleh pihak kerajaan hanya untuk mengawal pergerakan dan bukannya perintah berkurung.

Katanya, ruang untuk membeli-belah masih ada kerana pasar raya dan kedai serbaneka tidak ditutup.

“Apa yang dibuat kerajaan untuk mengurangkan pergerakan termasuk membeli-belah barangan keperluan.

“Kalau sampai tahap penuh sesak di pasar raya keadaan belum tentu selamat,” katanya kepada pemberita di Kota Darul Naim hari ini.

Beliau juga berkata, premis perniagaan di Pasar Malam Wakaf Che Yeh atau seumpamanya perlu ditutup.

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS juga memberitahu semua pejabat kerajaan negeri ditutup mulai esok hingga 31 Mac.

Malam tadi, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khasnya memberi jaminan bahawa bekalan bahan-bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka, adalah mencukupi.

Dalam pada itu, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 Mac hingga 31 Mac 2020 di seluruh negara.

Perintah kawalan ini dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Katanya, ia meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.- HARAKAHDAILY 17/3/2020