Pembentukan KAS demi kelestarian alam sekitar


KUALA LUMPUR: Pembentukan Kementerian Alam Sekitar (KAS) adalah selari dengan hasrat kerajaan melestarikan Alam Sekitar seiring dengan pembangunan negara. 

Advertisement


Empat kementerian baharu diwujudkan dalam Kabinet Kerajaan Perikatan Nasional (PN), termasuklah Kementerian Alam Sekitar (KAS) yang diterajui oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Menteri.

Menurut Tuan Ibrahim, skop besar kementeriannya memikul tanggungjawab besar untuk menangani pelbagai isu alam sekitar yang berlaku dalam negara termasuk pencemaran udara, pencemaran sungai, dan sebagainya.


Berkongsi rapat mengenai visi dan misinya dengan Harakah di Pejabat Agung PAS semalam Tuan Ibrahim berkata matlamat melestarikan alam sekitar pasti akan tercapai satu masa nanti.


Walaupun terpaksa bermula dari bawah iaitu bermula dengan mendidik masyarakat supaya mencintai alam sekitar, beliau menyatakan kesediaan untuk melakukannya.


Beliau akan bersama semua agensi berkaitan turun padang merapati masyarakat untuk mendidik mereka supaya mempunyai kesedaran menghargai alam sekitar.


Katanya, suatu masa lalu Alam Sekitar hanya sebuah jabatan, namun dijadikan sebuah kementerian ekoran pelbagai isu pencemaran melanda negara termasuk isu pemanasan global telah diangkat sebagai isu terbesar dunia.


Apatah lagi, pelbagai isu alam sekitar seperti pencemaran Sungai Kim Kim, jerebu yang berlaku setiap tahun seperti tiada kesudahannya.
“Ada beberapa aspek yang kita cuba ketengahkan dan penting untuk kita ambil tindakan kepada unsur-unsur yang merosakkan alam ini.


“Ada tindakan akta undang-undangnya tetapi kita cuba mendidik masyarakat sebab masyarakat ini perlu lahir dalam satu suasana yang masing-masing ada rasa tanggunjawab,” kata Tuan Ibrahim.


Beliau juga tidak ingin melepaskan peluang bergandingan bahu dengan semua agensi dan kerajaan-kerajaan negeri untuk menggerakkan usaha mendidik masyarakat mencintai alam sekitar seperti meningkatkan lagi budaya menanam pokok. – HARAKAHDAILY 17/3/2020