Pemimpin faktor penting perpaduan umat majmuk

KUALA LUMPUR: Perpaduan umat manusia dalam erti sebenar hanya boleh direalisasikan dengan mengambil petunjuk daripada Allah Taala yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W yakni dengan Islam.

Advertisement

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Islam sebagai ad-Din merangkumi segala aspek kehidupan termasuklah menangani masyarakat majmuk di mana berbeza dari makna ‘religion’ mengikut bahasa Barat.

“Islam menganjurkan perpaduan ummah dimulakan umat Islam dan umat manusia seluruhnya. Di mana Nabi kita Muhammad S.A.W telah mengajar apabila menegakkan negara Islam di Madinah Munawwarah, dengan menyatukan umat Islam dahulu.

“Iaitulah menyatukan kalangan Muhajirin, Ansar, Aus dan Khazraj yang berperang di zaman Jahiliyah. Mereka disatu dengan Islam, untuk menjadi model kepada orang lain.

“Oleh kerana Islam itu adalah adil dan baik untuk semua, selepas itu barulah diajak masyarakat majmuk berbagai agama dan bangsa,” jelasnya pada program Bicara Naratif TV1 membicarakan tajuk Kabinet Perpaduan Ummah di Angkasapuri, di sini sebentar tadi.

Jelasnya, dalam konteks negara ini, diambil pendekatan menyatukan orang Melayu-Islam dahulu dengan menganjurkan Muafakat Nasional diikuti Kongres Maruah Melayu, kemudian mengajak kaum lain untuk bersama.

Terangnya, penyatuan tersebut melibatkan Umno, PAS dan BERSATU, selaku parti Melayu, tanpa mengira statusnya dari kerajaan dan pembangkang di mana selepas itu, mengajak pula kalangan bukan-Islam yang tidak ekstrem.

“Supaya bersama mewujudkan sebuah masyarakat yang baik untuk menegakkan sebuah negara yang makmur bagi kita semua,” kemuka beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Kupas beliau juga, perpaduan umat manusia memerlukan pemimpin berintegriti dan memiliki sahsiah yang sebaik-baiknya fitrahnya iaitu dengan mengikut ajaran Islam di mana roh, jasad dan akal dibangunkan dengannya.

Perincinya, Islam membangun jati diri manusia dengan akidah keimanan iaitu mengetahui dosa dan pahala, baik dan buruk, serta ada balasan hari akhirat di mana ia mewujudkan cara berkesan kepada masyarakat.

“Islam telah berjaya melakukan secara praktikal dalam sejarah umat manusia. Tak pernah berlaku dalam sejarah, pimpinan masyarakat majmuk yang pernah ditunjukkan oleh Islam, dalam negara yang besar daripada Timurnya perbatasan Negeri China, Asia Tenggara.

“Baratnya Afrika Barat. Utaranya Selatan Eropah, Sepanyol, Asia Tengah, sehingga di Tengah Afrika. Berkali ganda dari Malaysia ini. Zaman (itu) tidak ada alat-alat yang canggih, tetapi orang Islam telah berjaya memimpin masyarakat majmuk dengan adil, dengan baik, dengan aman.

“Sebabnya kerana pemimpin punya integriti, yang memimpin secara ikhlas. Di mana untuk menyatukan manusia tidak boleh satukan dengan ekonomi sahaja. Tak boleh dengan aspek-aspek lahiriyah sahaja. Mestilah dengan aspek-aspek spiritual.

“Di mana menunjukkan keikhlasan yang tidak mungkin dibuktikan melainkan dengan adanya iman, dengan adanya konsep yang betul. Beriman kepada Allah, beriman kepada hari akhirat, takwa dan adil untuk semua,”katanya.

Empat perkara tersebut jelasnya, apabila beriman kepada Allah, maka tiada sesiapa yang boleh berpura-pura kepada manusia atau  mengatasi undang-undang kerana dengan iman membawa seseorang percaya hukuman di akhirat.

Manakala adil untuk semua dan takwa terang beliau, adalah penentu kepada kemuliaan manusia dan bukannya ketinggian itu kerana bangsa, baka dan keturunan, sekali gus membolehkan memimpin masyarakat majmuk dengan cara sebaik dan seadil-adilnya.

“Disebut dalam istilah hari ini, yang beriman dan budiman, yang punya ilmu pengetahuan yang sebaik-baiknya. Bukan sahaja punya kepakaran, punya keilmuan, tapi punya akhlak dan punya iman. Di mana kita melihat Allah Taala memulakan ajaran Islam itu dengan Iqra’.

“Dengan membaca, dengan menulis, dengan membina jati diri manusia di Makkah, peringkat membina iman, akhlak yang mulia. Selepas itu barulah mereka berhijrah ke Madinah dan mereka mengambil ilmu bukan sahaja ilmu daripada wahyu.

“Termasuk ilmu daripada manusia berbagai-bagai kaum, yang memberi faedah, manfaat kepada manusia, dengan pembangunan insan yang begitu mengikut acuan Allah, maka terbentuklah apa yang kita mahu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/3/2020