Perintah Kawalan Pergerakan: Gerak solidariti masyarakat

DEWAN Pemuda PAS Malaysia menyambut baik pengisytiharan yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri berhubung perintah kawalan pergerakan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Polis 1967 (Akta 344) di mana ia tertakluk kepada perkembangan semasa bagi semua warga negara dan bukan warga negara yang berada di Malaysia.

Advertisement

Arahan kawalan pergerakan ini yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkuatkuasa mulai 18 Mac hingga 31 Mac depan bagi menangani COVID-19.

Pemuda PAS ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia bersolidariti bersama-sama mereka yang memerlukab bantuan dan perhatian sepanjang tempoh kawalan pergerakan ini. Antaranya ialah:

1.    Kakitangan hospital seperti doktor, jururawat serta pembantu perubatan. Mereka merupakan golongan yang akan terus memikul beban tugas sepanjang tempoh ini. Bagaimanapun, keluarga mereka khususnya anak-anak kecil perlu untuk terus mendapat penjagaan dalam situasi taska dan sekolah diarahkan untuk ditutup. Pemuda PAS mengajak masyarakat untuk sama-sama berkorban dengan menawarkan khidmat jagaan anak-anak untuk golongan ini agar mereka boleh terus berkhidmat demi kepentingan masyarakat. Tidak dilupakan juga kepada mereka yang perlu untuk terus bertugas di sektor-sektor yang lain demi memastikan kehidupan seharian rakyat tidak terjejas.

2.    Golongan B40 yang terjejas punca pendapatan dan kehilangan mata pencarian sepanjang tempoh kawalan. Pemuda PAS tidak menafikan wujudnya golongan yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti harian untuk menampung kehidupan dan tentunya ia terjejas dengan perintah kawalan pergerakan ini. Selain bantuan yang diistyiharkan oleh kerajaan, Pemuda PAS mengajak masyarakat untuk tidak mengabaikan golongan ini dengan sama-sama menghulurkan bantuan yang diperlukan dari masa ke semasa.

3.    Peniaga kecil-kecilan yang tidak dapat menjalankan aktiviti perniagaan sepanjang tempoh kawalan. Untuk golongan ini, Pemuda PAS turut mengajak rakyat agar sama-sama memastikan mereka mendapat pembelaan yang sewajarnya terutamanya dari sudut bantuan barangan dapur.

Buat semua lapisan masyarakat, inilah masanya untuk kita semua bersatu hati dan berganding bahu bagi memastikan kita semua dapat mengharungi tempoh yang sukar ini dengan selamat. Perlulah diyakini bahawa, setiap musibah yang datang ini pastinya mempunyai hikmahnya yang tersendiri.

Jangan lupa untuk terus berdoa kepada Allah S.W.T, Tuhan Yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu agar diangkat musibah ini sesegera yang mungkin dan mengembalikan kesejahteraan kepada negara kita yang tercinta.

YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 17/3/2020