Perintah Kawalan Pergerakan: Tindakan wajar, tepat

MENELITI ucapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perkembangan penyakit pandemik Corona Virus yang turut melanda Malaysia, PAS Kedah juga turut sama merasai kebersamaan bertanggungjawab bagi menyokong usaha menanganinya.

Advertisement

Kini jumlah individu dijangkiti wabak sebanyak 553 orang; seramai 511 orang sedang dirawat di hospital, manakala 42 orang telah pun pulih.

Kerajaan memandang serius situasi semasa ancaman virus berbahaya ini terutama perkembangan gelombang kedua.

PAS Kedah juga turut menyokong penuh Perintah Kawalan Pergerakan serta semua usaha yang digerakkan oleh Kerajaan Malaysia seperti diumumkan oleh Perdana Menteri.

Sehubungan itu, semua aktiviti parti ditangguh sama ada di premis parti, seluruh pusat pendidikan PAS di semua peringkat turut ditutup bermula 18 Mac 2020.

Semoga tindakan segera kerajaan ini wajar dan tepat serta di masa sama, Allah S.W.T memakbulkan semua doa agar ancaman COVID-19 dapat dielakkan. Aamiin.

“Islam Memimpin Perpaduan”

Salam Hormat,
USTAZ HAJI AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah
Alor Setar – HARAKAHDAILY 17/3/2020