Tafsir: Rahmat turun setelah kita mengakui dosa

SUSULAN merebaknya virus COVID-19, pelbagai ulasan dan komentar bertebaran di media sosial. Walaupun kita terkilan dengan komen tidak munasabah sesetengah pseudo agamawan, kononnya menjauhi mass gathering (termasuk perhimpunan ibadah) sebagai tanda kita lebih takutkan makhluk berbanding Yang Maha Pencipta, namun janganlah kejahilan golongan ini menyebabkan kita pula skeptik dan meluat terhadap nasihat keagamaan. Alangkah rugi dan tidak berbaloi jika kita mengelak ibrah al-Quran dan hadis hanya kerana seorang dua yang tidak memahami agama.

Menurut Imam Ibn Katsir, terdapat sepotong ayat dalam surah at-Taubah yang perlu kita renungi bersama saat ditimpa musibah yang meragut nyawa dan mematikan penghasilan sumber pendapatan.

Advertisement

Allah S.W.T berfirman;

مَا عَلَى الْمُحْسِنِينَ مِنْ سَبِيلٍ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Tidak ada jalan sedikit pun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

(At-Taubah: 91)

Mengulas perihal ayat ini, Imam al-Auzaie menceritakan peristiwa sebuah kaum yang diuji kemarau dan kemelaratan.

وقال الأوزاعي :
خرج الناس إلى الاستسقاء ، فقام فيهم بلال بن سعد ، فحمد الله وأثنى عليه ، ثم قال : يا معشر من حضر : ألستم مقرين بالإساءة ؟ قالوا : اللهم نعم.

“Al-Auzaie berkata, suatu hari orang ramai keluar untuk melakukan solat istisqa atau memohon hujan, lalu Bilal bin Sa’d berdiri di antara mereka (untuk berkhut­bah). Bilal memulakan ucapan beliau dengan puji-pujian terhadap Allah S.W.T. Sesudah itu beliau berkata, “Wahai orang-orang yang hadir, bukankah kalian mengakui berbuat dosa?” Mereka menjawab, “Ya Allah, benar kami melakukan dosa.””

Bilal bin Sa’d lalu berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْمَعُكَ تَقُولُ: “مَا عَلَى الْمُحْسِنِينَ مِنْ سَبِيلٍ”

اللَّهُمَّ وَقَدْ أَقْرَرْنَا بِالْإِسَاءَةِ فَاغْفِرْ لَنَا وَارْحَمْنَا واسقِنا.

وَرَفَعَ يَدَيْهِ وَرَفَعُوا أَيْدِيَهُمْ فَسُقوا.
.
“Ya Allah, sesungguhnya kami mendengar firman-Mu yang berbunyi, “Tidak ada jalan sedikit pun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik.””

“Ya Allah, kami telah mengakui berbuat dosa, maka berikanlah ampunan bagi kami, rahmatilah kami, dan berilah kami siraman air hujan.”

“Bilal mengangkat kedua tangannya, dan orang ramai pun mengangkat tangan mereka. Maka hujan pun turun mencurah-curah.”

Peningkatan angka kes COVID-19 begitu membimbangkan kita semua. Selain mengamalkan jarak sosial (social distancing), membatalkan penganjuran aktiviti berskala besar dan kuarantin sebelum ke tahap lockdown, umat Islam wajar kembali menginsafi diri. Kini bukan masanya berebut kuasa di Parlimen atau berebut barangan runcit di pasar raya. Bukan juga masa saling menyalahkan siapa pemula dan punca virus merebak. Jika kita ada masa untuk berkelahi, sudah tentu kita juga mampu meluangkan seminit dua bertafakur dan mengakui dosa-dosa di hadapan Allah S.W.T.

Rahmatilah kami wahai Yang Maha Pengasih.

SOFIA ALWANI ALI – HARAKAHDAILY 17/3/2020