Beri peluang PAS realisasi keupayaan memerintah

KUALA LUMPUR: Politik adalah sebahagian daripada Islam di mana agama ini yang mengawal politik dengan menunjukkan jalan dan matlamat tujuannya, demikian kata Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Advertisement

Menurut beliau, aspirasi PAS ketika ini adalah merealisasikan pemerintahan negara di mana selain Islam diperkenalkan secara ilmu, ia juga sangat penting diperlihatkan secara praktikal menerusi politik.

“Dengan sebab itu kalau politik mengikut Islam, semua jadi baik. Yang silap hari ini ialah bila politik nak memaksakan Islam. Ini perbezaan dua perkara ini perlu kita selesaikan dahulu.

“Ada kalangan yang memang tahu Islam ini baik, tapi mereka tak mahu beri peluang kepada Islam, kerana mereka takut mempengaruhi (masuk Islam). Ini satu sikap yang tidak jujur,” ujarnya pada program Bicara Naratif TV1 di Angkasapuri, di sini semalam.

Jelas beliau, PAS mempunyai pengalaman memerintah Kerajaan Negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, serta pernah menyertai Kerajaan Pusat tahun 1973 dan dalam BN 1974 hingga akhir 1970-an.

Terangnya, pengalaman itu mengajar PAS kekuatan, kelemahan, kebaikan dan kesempurnaan, serta menjadi pembangkang yang menasihat kerajaan di mana kini peluang itu mahu dibuktikan dalam kerajaan.

Kerana itulah maklumnya, pemilihan calon dalam PAS berdasarkan integriti dan melalui saringan tapisan dibuat Majlis Syura Ulamak dilihat iman, akhlak, ilmu dan tiada kelemahan secara zahirnya.

Menerusi pendekatan itu katanya, PAS berjaya memilih pemimpin yang mempunyai sifat baik hingga menimbulkan suasana stabil dalam parti, tidak sebagaimana perkara dialami oleh parti-parti politik lainnya.

“Kita tak mahu cakap kelemahan orang lain, kita tak mahu mengambil budaya bila orang tanya, ini salah orang lain, ini salah orang lain. Kita perlu tunjukkan apa yang boleh kita buat, yang kita tunjukkan kepada orang,” ujarnya.

Menurut Ahli Parlimen Marang ini juga, dalam menyelesaikan pertikaian terhadap tonggak-tonggak negara dalam Perlembagaan, PAS mengambil pendekatan menyatukan parti politik yang ada.

Perinci beliau, ia bermula dengan parti-parti yang pernah terlibat dalam perjuangan kemerdekaan dan menggubal Perlembagaan di mana turut menyertai pilihan raya pertama 1955 dan pada tahun 1959.

Kerana terangnya, walaupun Perlembagaan itu digubal Suruhanjaya Reid, tetapi parti-parti ketika itu mempunyai semangat Perlembagaan di mana sama ada kerajaan atau pembangkang; mereka menerima hakikat dan sedar jaminan hak di dalamnya.

“Antara yang menarik ialah hukum Islam tak boleh hukum orang bukan-Islam. Ini satu kelonggaran yang diberi. Kita tak paksa orang bukan-Islam menerima hukum Islam. Kita perkenalkan dulu.

“Dengan perkenalkan ini saya yakin bahawa orang bukan-Islam akhirnya akan terima hukum Islam ini. Bahkan banyak Undang-undang Barat itu diambil daripada Islam, diciplak daripada Islam.

“Banyak konsep yang diambil oleh Barat, kehakimannya, undang-undangnya, persaksian, banyak. Kita lebih sempurna,” optimis beliau.

Menjawab pertikaian terhadap komposisi Kabinet, beliau berkata yang penting adalah tidak bersifat ekstrem di mana pihak lain boleh tidak bersetuju, tetapi beri ruang kerajaan baharu memperkenal dan sedia berhujah.

Sebaliknya tegur beliau, sekiranya bersikap ekstrem dan melulu tidak akan memberi kesempatan untuk memperkenalkan, kerana Islam tidak cukup dengan ilmu, teori, ucapan dan tulisan, tetapi mesti praktikal.

“Dengan sebab itu kita percaya dan yakin, kalau diizinkan Islam dipraktikkan dengan cara yang betul, akan memberikan kefahaman yang betul kepada orang Islam dan akan memberi kefahaman orang bukan-Islam sendiri. Dan mereka boleh terima Islam dengan cara yang lebih terbuka kepada Islam ini.

“Perlu kita sedar banyak dalam sejarah undang-undang antarabangsa sebagai contohnya, apabila ahli undang-undang antarabangsa nak menggubal undang-undang antarabangsa selepas Perang Dunia yang Pertama. Mereka gagal untuk mencipta undang-undang antarabangsa bagi mengawal peperangan yang berlaku.

“Sehingga mereka jadikan Quran sebagai rujukan. Dan hari ini kita dapati bagaimana terdapat kalangan bukan-Islam, saintis yang bukan-Islam menganut Islam bila mereka baca Islam. Dan ada yang mengaku Islam itu benar, Islam itu betul. Mereka terima hakikat ini.

“Dan banyak kajian saintifik tentang angkasa lepas yang ditunjuk oleh Quran. Dibuktikan benar macam Quran sebut itu benar. Bila bercanggah Quran dengan pandangan manusia, akhirnya orang tahu Quran itu betul,” terangnya. – HARAKAHDAILY 18/3/2020