Covid-19: 4 individu sahaja dibenar keluar kenyataan

KUALA LUMPUR: Berikutan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perintah kawalan perjalanan selepas peningkatan kes Covid-19, hanya empat individu yang layak dan dibenar mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung hal ehwal kesihatan dan bukan kesihatan ketika ini.

Advertisement

Demikian intipati Mesyuarat Khas COVID-19 secara tertutup bersama ketua-ketua jabatan dan pengamal media dari seluruh negara semalam.

Perkara itu ditekankan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Sementara bagi urusan ehwal kesihatan, hanya Kementerian Kesihatan dibenar mengeluarkan kenyataan melalui sidang media Menterinya, selain kenyataan media harian.

Manakala bagi hal-hal yang berkaitan dengan keselamatan, ia perlu melalui Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara.

Mesyuarat yang berlangsung hampir sejam di bangunan Kementerian Komunikasi Dan Multimedia Putrajaya itu membincangkan mengenai perintah kawalan pergerakan menjelang penguatkuasaannya secara rasmi mulai tengah malam ini.

Ia melibatkan kerjasama polis, MCMC dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). – HARAKAHDAILY 18/3/2020