COVID-19: Kawal dan elak keadaan panik

MANUSIA itu bersifat dengan gelisah

Keadaan panik boleh berlaku kerana dalam diri manusia wujudnya sifat gelisah. Ini kerana manusia itu bersifat takut akan kehilangan sesuatu yang dimiliki oleh dirinya. Sifat gelisah khususnya sebagaimana dirakamkan oleh Allah S.W.T apabila berlakunya sesuatu keburukan yang menimpa dirinya.

Firman Allah S.W.T:

Advertisement

۞ إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ خُلِقَ هَلُوعًا * إِذَا مَسَّهُ ٱلشَّرُّ جَزُوعࣰا * وَإِذَا مَسَّهُ ٱلۡخَیۡرُ مَنُوعًا

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut.”

[al-Ma’arij: 19 – 21]

Sifat gelisah di atas adalah dicela oleh Allah S.W.T kerana diiringi dengan sifat di kala beroleh kesenangan yang menjadikannya bersifat bakhil kedekut. Ini menjadikan sesuatu sifat yang membelakangi Allah dan melupakan Allah adalah satu sifat yang tercela sekalipun ia wujud di dalam diri manusia sebagai lumrah kejadian yang ada dalam dirinya.

Sifat manusia apabila sesuatu yang keterlaluan dan di luar batasan adalah tercela di dalam Islam termasuklah sifat gelisah. Asalnya, sifat gelisah adalah sebagai reaksi balas apabila berlaku sesuatu yang ditakuti menimpa diri atau kehilangan sesuatu. Namun apabila ia bersifat keterlaluan seperti yang dinyatakan pada ayat di atas maka ia tercela.

Ini kerana sifat gelisah yang tercela sebagaimana yang dirakamkan oleh ayat di atas ialah pada keadaan seseorang yang melupai Allah dan cintakan dunia. Ini kerana di saat mendapat nikmat mereka bakhil, dan apabila kehilangan nikmat dengan ditimpa musibah mereka mulai gelisah.

Asasnya, kejadian panik adalah perkara yang biasa dan boleh berlaku kerana beberapa faktor antara:

(1) Sifat genetik yang diwarisi apabila senang dan cepat untuk merasai gelisah.

(2) Tidak adanya keyakinan diri apabila berhadapan dengan sesuatu yang bukan kebiasaan seperti berhadapan dengan ancaman haiwan buas dan musibah alam.

(3) Faktor sekeliling yang melahirkan kebimbangan jika tidak memperolehi akan apa yang diharapkan seperti menghadiri temu duga dan menduduki sesuatu peperiksaan atau ujian.

Dilarang mewujudkan keadaan terlalu panik yang menakutkan-nakutkan

Sifat gelisah yang tidak terkawal boleh menyebabkan keadaan panik yang tidak terkawal atau melampaui had normal. Akhirnya ia akan menjadikan tindakan seseorang yang aneh dan memberi kesan yang buruk sama ada pada diri atau pihak lain.

Keadaan panik yang tidak terkawal boleh menyebabkan penyebaran sesuatu perkara yang tidak benar dan tidak tepat. Akhirnya ia menyebabkan semua pihak berada dalam keadaan terlampau gelisah dan mewujudkan suasana panik dan ketegangan yang tidak sepatutnya.

Firman Allah S.W.T:

وَإِذَا جَاءَهُمْ أَمْرٌ مِنَ الْأَمْنِ أَوِ الْخَوْفِ أَذَاعُوا بِهِ وَلَوْ رَدُّوهُ إِلَى الرَّسُولِ وَإِلَى أُولِي الْأَمْرِ مِنْهُمْ لَعَلِمَهُ الَّذِينَ يَسْتَنْبِطُونَهُ مِنْهُمْ وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ لَاتَّبَعْتُمُ الشَّيْطَانَ إِلَّا قَلِيلًا

“Dan apabila datang kepada mereka sesuatu berita mengenai keamanan atau kecemasan, mereka terus menghebahkannya; padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu kepada Rasulullah dan kepada – ‘Ulil-Amri’ (pemerintah) di antara mereka, tentulah hal itu dapat diketahui oleh orang-orang yang layak mengambil keputusan mengenainya di antara mereka; dan jika tidaklah kerana limpah kurnia Allah dan belas kasihanNya kepada kamu, tentulah kamu (terbabas) menurut Syaitan kecuali sedikit sahaja (iaitu orang-orang yang teguh imannya dan luas ilmunya di antara kamu).”

[al-Nisa: 83]

Malah, Rasulullah S.A.W melarang perbuatan sengaja menakut-nakutkan sama ada sengaja menakutkan bagi mengenakan orang lain atau disebabkan kerana kita menjadi panik yang keterlaluan yang akhirnya mewujudkan suasana panik secara umum.

Rasulullah S.A.W bersabda:

لَا يَحِلُّ ِلمُسْلِمٍ أَن يَرَوِّعَ مُسْلِمًا

“Tidak halal bagi seorang Islam menakutkan orang Islam yang lain.”

(Riwayat Abu Daud)

Tindakan menakut-nakutkan menjadikan manusia tidak berada dalam keadaan yang sebenar dan sepatutnya. Sehubungan itu, kerosakan akan berlaku ekoran suasana panik tidak terkawal yang timbul. Hal ini berlaku apabila keadaan panik yang menakut-nakutkan disebabkan:

(1) Sebaran info yang bukan dari sumber yang sahih dan tidak tepat.
(2) Tindakan yang tidak terkawal yang mengakibatkan kesan negatif pada sudut kepercayaan dan tindakan di luar kawalan.
(3) Sengaja mewujudkan fitnah.

Mengawal keadaan panik menurut perspektif Islam

Umat Islam diajarkan untuk mengimbangkan antara persediaan zahir dan batin. Selain dari usaha-usaha sebagai ikhtiar manusia, keadaan panik bersangkut paut dengan ketenteraman dan ketenangan jiwa. Justeru, Allah Maha Berkuasa dalam membolak balikkan hati atau jiwa manusia.

Dalam apa jua isu termasuk situasi Perintah Kawalan Pergerakan ekoran penularan COVID-19 yang melanda di negara Malaysia ini berlaku banyak keadaan panik oleh rakyat umum seperti:

(i) Pembelian panik membeli barangan asas keperluan di pasar raya dan kedai-kedai pada 17 Mac.

(ii) Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur, pada 17 Mac sesak apabila diserbu orang ramai yang mahu pulang ke kampung halaman berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa pada 18 Mac 2020.

Beberapa langkah boleh diambil untuk tindakan mengawal keadaan panik dalam diri manusia seperti:

(1) Jaga hubungan dengan Allah dengan bersabar dan dirikan solat. Asasnya bagaimana jiwa manusia itu tenteram ialah dengan mengingati Allah S.W.T. Ia meliputi:

(i) Yakin dengan ketentuan Allah dan hikmah sebaliknya.
(ii) Bersangka baik pada Allah dan tidak berputus asa kerana mustahil bagi Allah akan berlaku zalim.
(iii) Mengharapkan ganjaran dari Allah dan pengampunan dosa atas tiap musibah yang dilalui dengan penuh keinsafan.

Firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱسۡتَعِینُوا۟ بِٱلصَّبۡرِ وَٱلصَّلَوٰةِۚ إِنَّ ٱللَّهَ مَعَ ٱلصَّـٰبِرِینَ

“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”

[Al-Baqarah: 153]

Firman Allah S.W.T:

وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ وَإِنْ يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

“Dan jika Allah menimpakan sesuatu kemudharatan kepadamu, maka tidak ada yang menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

[Al-An’am: 17]

Lagi firman Allah S.W.T:

مَا أَصَابَ مِنْ مُصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنْفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِنْ قَبْلِ أَنْ نَبْرَأَهَا إِنَّ ذَلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Luh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.”

[Al-Hadid: 22]

(2) Mendapatkan perkembangan semasa dan melakukan sebaran dari sumber sahih yang dikeluarkan oleh pihak berwajib dan berautoriti. Ia meliputi:

(i) Semakan (tabayyun) sesuatu info amat perlu agar tidak berlaku panik disebabkan info yang tidak benar atau tidak tepat.
(ii) Tidak mencetuskan keadaan yang timbul sangkaan-sangkaan dan tanda tanya tanpa penjelasan yang benar.
(iii) Tidak perlu komentar sesuatu perkara yang tidak diketahui atau tiada maklumat mengenainya secara jelas.

Firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِن جَاۤءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإࣲ فَتَبَیَّنُوۤا۟ أَن تُصِیبُوا۟ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةࣲ فَتُصۡبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِینَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

[Al-Hujurat: 6]

Firman Allah S.W.T:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوا۟ ٱجۡتَنِبُوا۟ كَثِیرࣰا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمࣱۖ

“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”

[Al-Hujurat: 12]

Firman Allah S.W.T:

إِذۡ تَلَقَّوۡنَهُۥ بِأَلۡسِنَتِكُمۡ وَتَقُولُونَ بِأَفۡوَاهِكُم مَّا لَیۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمࣱ وَتَحۡسَبُونَهُۥ هَیِّنࣰا وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِیمࣱ

“Ketika kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.”

[An-Nur: 15]

(3) Membuat persiapan teratur dan mematuhi langkah-langkah penjagaan dalam tempoh yang diberikan. Ia meliputi:

(i) Perancangan awal dan bijak dalam menyusun sesuatu persiapan dengan teratur dan tenang.
(ii) Mematuhi setiap arahan pihak berkuasa dan berautoriti dengan baik tanpa terburu-buru.

Firman Allah S.W.T:

وَٱعۡلَمُوۤا۟ أَنَّ فِیكُمۡ رَسُولَ ٱللَّهِۚ لَوۡ یُطِیعُكُمۡ فِی كَثِیرࣲ مِّنَ ٱلۡأَمۡرِ لَعَنِتُّمۡ

“Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran…”

[Al-Hujurat: 7]

Jangan mengambil kesempatan atas keadaan panik, bantu yang terdesak

Antara perkara yang perlu ditekankan juga ialah larangan terhadap segelintir pihak yang cuba mengambil kesempatan atas keadaan panik yang tercetus. Ia berlaku seperti memanipulasikan harga, menyamar sebagai ejen palsu dalam aktiviti perniagaan mengaut keuntungan dan sebagainya.

Penipuan dalam penyamaran dan penindasan harga sehingga harga melambung termasuk dalam memakan harta secara batil dan ia dilarang keras oleh Islam.

Firman Allah S.W.T:

وَلَا تَأۡكُلُوۤا۟ أَمۡوَ ٰ⁠لَكُم بَیۡنَكُم بِٱلۡبَـٰطِلِ…

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah…”

[Al-Baqarah: 188]

Malah situasi yang kurang stabil ini perlunya kerjasama semua pihak untuk saling bantu membantu agar tidak ada maslahat dan kebajikan yang terjejas teruk. Ini kerana cabaran perlu dihadapi oleh rakyat khususnya yang melibatkan ekonomi dan kewangan. Tanpa mampu dinafikan, terhadnya pergerakan aktiviti di luar serta penangguhan yang melibatkan himpunan, boleh memberi negatif pada individu kalangan mereka yang bekerja sendiri, peniaga jalanan dan sebagainya yang turut terkena tempias.

Justeru, kesedaran semua untuk saling bantu membantu adakah satu sikap baik yang perlu dipupuk dan diberikan perhatian yang sewajarnya dalam situasi semasa ini dengan usaha:

(i) Bantuan promosi aktiviti yang dijalankan bagi mencari pendapatan.
(ii) Bantuan sumbangan kebajikan bagi yang terdesak dan amat kesempitan.
(iii) Penangguhan bayaran komitmen dengan penjadualan baru bagi pelanggan bank yang terjejas pendapatan.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

“Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin di dunia maka Allah akan melepaskan darinya kesusahan di akhirat. Dan sesiapa yang mempermudahkan urusan orang yang mengalami kesusahan atau kesulitan maka Allah akan mempermudahkan ke atasnya di dunia dan akhirat.”

(Riwayat Muslim)

Disediakan oleh:
USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 18/3/2020