Covid-19: Patuhi arahan kerajaan

PADANG SERAI: Dewan Muslimat PAS Kedah, menyambut baik arahan perintah kawalan perjalanan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin, pada Isnin lalu.

Advertisement

Ketuanya, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, berkata, perlaksanaan tindakan sedemikian amat perlu memandangkan wabak Covid -19 semakin menular dan pergerakan orang ramai perlu dihadkan.

“Ini langkah yang baik untuk mengekang wabak itu dari terus merebak dan orang ramai dinasihatkan agar akur dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan,” kata beliau hari ini.

Justeru itu, beliau merayu kepada sesiapa yang terlibat di dalam perhimpunan Ijtimak Tabligh di Sri Petaling tempohari agar tampil membuat pemeriksaan kesihatan di hospital berdekatan.

Selain itu, orang ramai yang mengalami simpthom seperti demam, batuk atau selsama, segeralah mendapatkan rawatan.

Tegas Siti Ashah lagi, Muktamar Tahunan Dewan Mulsimat Negeri Kedah yang dijadualkan pada 17 April ini juga turut ditangguhkan ke tarikh lain manakala arahan yang sama juga melibatkan Dewan Muslimat PAS Kawasan-kawasan yang belum melaksanakannya selepas arahan itu dikeluarkan.

“Tindakan ini berikutan arahan Dewan Muslimat PAS Malaysia agar menangguhkan sebarang himpunan dan program parti termasuk Muktamar Tahunan sehingga ke tarikh yang dimaklumkan nanti,” jelas Adun Merbau Pulas itu lagi.

Sehubungan dengan itu, semua ahli PAS khususnya muslimat disarankan mengadakan solat hajat serta bacaan Yaasin secara persendirian di rumah masing-masing untuk memohon ke hadrat Allah agar segera diselamatkan dari wabak ini.

HARAKAHDAILY 18/3/2020