Covid-19: Terengganu tutup hotel, pusat peranginan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu kini mengenakan sekatan penutupan operasi hotel dan pusat peranginan di negeri ini selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Advertisement

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tindakan itu diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19, yang semakin meningkat jumlahnya di negara ini.

Menurutnya, tempoh kawalan pergerakan yang dikenakan itu bermula 18 hingga 31 Mac ini untuk mengekang penularan Covid-19, bukan bercuti raya.

“Kepada rakyat Terengganu yang pulang, dinasihatkan supaya duduk di rumah masing-masing dan tidak jadikan kepulangan mereka ini seperti tempoh bercuti raya.

“Sekiranya tempoh dua minggu ini tidak mendatangkan kawalan yang sepatutnya, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri akan mengambil langkah yang lebih drastik daripada itu,” Tegasnya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu, hari ini.

Dr Samsuri turut menasihatkan orang ramai agar tidak memandang remeh arahan pihak berkuasa berkenaan.

Sehubungan itu, katanya pihak media yang bertugas membuat liputan juga disarankan agar membuat ujian saringan.

“Kita semua berisiko sebenarnya dan tidak ada orang yang terkecuali termasuk petugas media, yang perlu berjumpa pelbagai pihak ketika membuat liputan dalam melaksanakan tuntutan tugas masing-masing.

“Saya merayu sangat-sangat kepada mereka ini supaya ini bukan masa untuk enjoy tetapi bersama-sama memainkan peranan masing-masing,” ujarnya.

Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri akan mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak kesihatan negeri terutama kakitangan hadapan.

Hadir sama mengiringi menteri besar itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Ahmad Shah Mohamed.

  • HARAKAHDAILY 18/3/2020