Gantung sementara bayaran balik pinjaman

REACH menggesa Kerajaan Malaysia mengikut jejak langkah Kerajaan Itali yang menggantung pembayaran balik semua pinjaman perumahan untuk membantu rakyat menghadapi kesan dari wabak Covid-19.

Advertisement

Penggantungan ini bukan kali pertama di Itali tetapi pernah berlaku ketika krisis kewangan melanda negara Eropah itu.

Di Malaysia, kesan kesihatan wabak ini melibatkan ribuan rakyat dan negara telah mencatatkan kematian pertama semalam. Tetapi kesan kewangan wabak ini akan melibatkan lebih ramai rakyat Malaysia.

Ramai yang kehilangan pendapatan kerana diwajibkan mengambil cuti tanpa gaji.

Mereka yang terlibat di dalam perniagaan dan pembekal perkhidmatan melihat pendapatan mereka terjejas akibat dari pengurangan permintaan atau arahan kawalan pergerakan.

Paling terkesan adalah mereka yang terlibat di dalam perniagaan kecil-kecilan seperti berniaga di pasar atau membuka warung.

Terdapat cadangan agar mereka berbincang dengan pihak bank untuk menjadualkan semula pembayaran pinjaman mereka. Tetapi kami yakin bukan semua dari mereka berupaya mengadakan perbincangan dengan pihak bank.

Inisiatif ini perlu datang dari kerajaan. Kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan pihak bank dan institusi-institusi kewangan. Tanpa inisiatif dari kerajaan, tidak hairan jika ramai yang akan melihat kediaman mereka dilelong oleh pihak bank.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan ( REACH )
HARAKAHDAILY 18/3/ 2020