MB Terengganu rayu rakyatnya kekal di rumah

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merayu agar rakyatnya kekal di kediaman masing-masing dan hanya keluar rumah sekiranya perlu.

Beliau menyeru agar rakyatnya bersama-sama menggalas tanggungjawab itu demi kesihatan masyarakat dan keluarga supaya penukaran wabak penyakit Covid-19 dapat dibendung.

Advertisement

Sementara itu, beliau dalam lawatannya ke hospital yang menempatkan petugas kesihatan terlibat berkata, beliau amat berbangga dengan petugas-petugas yang bertungkus lumus memberi perkhidmatan rawatan.

Katanya, barisan hadapan (petugas kesihatan) yang menghadapi serangan Covid-19 ini sangat komited dalam membantu negara.

“Saya berasa amat bangga dengan mereka. Tiada ungkapan lebih bermakna selain ucapan ‘Terima kasih’,” katanya menerusi penulisan Facebook hari ini.

Dalam kenyataan berasingan, Naib Presiden PAS itu turut menasihati para pemilik kedai makan supaya menyediakan makanan bungkus sahaja.

“Sepanjang laluan saya meninjau beberapa tempat, ada lagi satu dua kedai makan yang masih dibuka dan ‘serve‘.

“Saya merayu sangat, ini bukan masa untuk kita ‘enjoy‘ tetapi masa untuk kita mainkan peranan masing-masing. Pihak kedai makan, sediakan makanan bungkus sahaja,” ujarnya.

Dalam masa sama katanya, rakyat Terengganu yang pulang jangan buat seperti cuti raya atau cuti sekolah, jumpa kawan dan sebagainya, sebaliknya kekal di rumah bersama keluarga masing-masing.

Setakat jam 10. 30 malam semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan kes positif jangkitan Covid-19 di Terengganu merekodkan sejumlah 7 kes iaitu kedua terendah dalam Malaysia.- HARAKAHDAILY 18/3/2020