Nilai semula lantikan politik PH di Kementerian: UMMAH

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengesa pihak kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya Kementerian Agama menilai kembali kedudukan lantikan politik di dalam agensi-agensi bawah bidang kuasanya.

Menurut Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa bahawa tindakan menilai kembali kedudukan penjawatan lantikan politik ini perlu diberi perhatian segera dan sewajarnya oleh pihak menteri bagi memastikan pejalanan agensi-agensi di bawah kementerian itu dapat berjalan mengikut naratif dan aspirasi kerajaan PN.

“Penilaian semula kedudukan lantikan politik wajar dilakukan segera kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah terbubar dan kerajaan yang memerintah sekarang adalah kerajaan Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Mahyuddin Yasin.

Advertisement

“Ia mendapat sokongan padu dari gabungan fraksi politik BERSATU, Muafakat Nasional, Barisan Nasional, GPS, di samping Ahli Parlimen Bebas yang di dominasi Melayu Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, Ummah Pusat juga mendapati perlantikan jawatan politik bagi agensi tersebut adalah daripada kalangan wakil parti sekutu DAP, juga NGO sekutu mereka seperti IKRAM, ABIM yang dikenalpasti secara tegar dan terang menentang aspirasi kerajaan sekarang.

Antara agensi-agensi yang berada di bawah Kementeria Agama seperti JAKIM, YADIM, YAPIEM, Hospital Pusrawi, Kolej Profesional Bailtulmal MAIWP, Yayasan Taqwa MAIWP dan banyak lagi agensi yang lain.

“Di mana, agensi-agensi tersebut adalah strategik dan penting dalam usaha memacu kesejahteraan umat Islam di negara ini,” ujarnya.

Mohd Zai menambah, kami (UMMAH) bimbang, sekiranya penjawatan lantikan politik era PH dikekalkan ia bukan sahaja tidak dapat melaksanakan halataju dan matlamat ditetapkan.

Bahkan katanya, dibimbangi berlaku tindakan sabotaj yang boleh menjejaskan halatuju dan matlamat tersebut.

“Sebelum nasi menjadi bubur, seeloknya penjawatan lantikan politik tersebut diganti dengan segera,” katanya.

Sebelum ini, Ummah Pusat turut menasihatkan semua pemegang jawatan bagi kouta lantikan politik kerajaan PH disarankan agar dapat melepaskan jawatan mereka secara yang terhormat.

Sehubungan itu, Ummah Puast juga berhasrat mengunjungi YB Menteri dan YB Timbalan Menteri Agama dalam masa yang terdekat bagi memberi pandangan dan membincangkan hal tersebut.- HARAKAHDAILY 18/3/2020