PAS minta rakyat ikut arahan MKN

KUALA LUMPUR: PAS mengingatkan rakyat supaya mengikut arahan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya duduk di rumah masing-masing bagi mengekang penularan Covid-19.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, jangan mengambil peluang cuti selama dua minggu ini untuk bercuti ke tempat lain atau balik kampung.

Advertisement

Katanya, ini kerana tempat yang sesak mudah untuk virus merebak dan sudah tentu ia akan memberi kesan yang lebih buruk kepada negara.

“Jangan kelam kabut, semua rakyat perlu bertenang. Sabarlah sebab kerajaan sedang berusaha untuk menangani Covid -19 dari terus merebak.

“Dalam senario begini banyakkan berdoa dan bertawakkal kepada Allah,” katanya.

Beliau yakin rakyat Malaysia faham dan akur dengan arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac hingga 31 Mac.

Menurut beliau rakyat kena faham maksud pergerakan terhad kerana Rasulullah sudah beri petunjuk.

Katanya kekal di rumah masing-masing dan jangan bergerak ke tempat lain atau balik kampung.

“Ya Allah! Sekiranya Covid-19 yang melanda negara kami dan dunia keseluruhannya kerana dosa dan maksiat yang kami lakukan, engkau ampunilah kami.

“Kami sedar kemurkaan-Mu, tidak ada siapa yang dapat menghalangnya. Semoga kami insaf atas keangkuhan kami kepada-Mu selama ini,” luahnya. – HARAKAHDAILY 18/3/2020