PAS Perlis bantu petugas kesihatan

KANGAR: Prihatin terhadap petugas kesihatan yang komited membantu negara dalam berhadapan dengan wabak Covid-19, PAS Perlis terpanggil memberi sumbangan bekalan makanan kepada para petugas di Hospital Tuanku Fauziah.

Sumbangan makanan itu diagih sendiri oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli bersama Setiusaha Perhubungan PAS Negeri Baharudin Ahmad dan beberapa Ahli Jawatankuasa Dewan Harian.

Advertisement

Mohd Shukri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang berkata, orang ramai diminta supaya sentiasa mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“PAS Perlis juga mengeluarkan arahan kepada organisasi parti supaya membatalkan apa sahaja program yang melibatkan ramai peserta seperti kuliah dan ceramah.

“Arahan tersebut untuk menghindarkan wabak Covid-19 daripada terus menular lebih parah lagi,” katanya di sini.

Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan selama 14 hari berkuat kuasa sepenuhnya hari ini sehingga 31 Mac.

Perintah itu menetapkan larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan melibatkan orang ramai di seluruh negara dengan semua rumah ibadat dan premis perniagaan ditutup kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

Selain itu, semua premis kerajaan dan swasta turut diarahkan tutup kecuali yang terbabit dengan perkhidmatan penting negara sahaja yang dibolehkan untuk beroperasi.- HARAKAHDAILY 18/3/2020