Patuhi arahan pihak berkuasa – Amzad

KUALA TERENGGANU: Semua pihak disarankan agar dapat mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengekang ancaman penularan wabak Covid-19.

Advertisement

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim mengingatkan rakyat agar mematuhi arahan pihak berkuasa.

Katanya, bahaya wabak penyakit koronavirus yang kini dikenali sebagai Covid-19 perlu dihindari kerana telah meragut banyak nyawa di seluruh dunia.

Menurutnya, wabak Covid-19 yang bermula di China itu kini telah merebak dengan cepat dalam masa beberapa bulan ini.

“Saya menyeru kepada semua rakyat supaya tidak ambil mudah dengan arahan pihak berkuasa tentang wabak Covid-19 ini.

“Perdana Menteri telah keluar arahan Perintah Kawalan Pergerakan kepada semua rakyat Malaysia bagi mengekang masalah Covid-19 yang semakin meningkat.

“Kita semua mesti sama-sama berperanan untuk mengatasi masalah penularan Covid-19 ini yang telah meragut ribuan nyawa manusia di seluruh dunia,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau para peniaga dan pengunjung di lokasi Pasar Payang Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Terengganu itu lagi kerjasama di kalangan mereka yang menyertai Ijtima Tabligh di Masjid Petaling Jaya perlu tampil membuat ujian saringan.

“Ini penting, supaya wabak Covid-19 dapat dibendung sebelum merebak lebih luas dan tidak terkawal.

“Saya mohon kepada mereka yang terlibat untuk tampil secara sukarela. Sebab telah ada kematian yang positif Covid-19 itu dari kalangan peserta jemaah Tabligh terbabit,” jelasnya kepada Harakah, hari ini.

Sebelum itu, beliau turut mengadakan lawatan mengejut ke Pasar Payang Kuala Terengganu, sejurus kepulangannya dari ibu negara, Kuala Lumpur jam 3.00 petang tadi.

Hadir sama mengiringi Ahmad Amzad itu, Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Kawasan Kuala Terengganu, Jefri Chua.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah turut menasihati orang ramai agar berada di rumah serta mematuhi perintah kawalan pergerakan.

Beliau bimbang jika tidak keadaan terkawal akan berlaku ‘gelombang’ ketiga virus ini yang lebih besar, apabila rakyat mengambil sikap tidak kisah.

HARAKAHDAILY 18/3/2020