RUU IPCMC diperhalusi: Takiyuddin

KUALA LUMPUR: Status Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan diteliti dan diperhalusi semula oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Hal itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato’ Takiyuddin Hassan bersama Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hamzah Zainudin selepas diputuskan dalam Kabinet hari ini.

“Hasil perbincangan tersebut akan dibawa ke peringkat perbincangan dalam Kluster Keselamatan yang dipengerusikan Menteri Kanan Pertahanan, Dato Ismail Sabri, sebelum dibawa ke Mesyuarat Kabinet untuk diputuskan,” kata Dato’ Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan.

Advertisement

IPCMC telah diperkenalkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang akan bertindak sebagai badan pemantau bebas untuk menerima aduan dan menjalankan siasatan terhadap salah laku anggota polis.

Namun, cadangan itu telah mendapat banyak bantahan daripada pelbagai pihak yang tidak bersetuju perlaksanaannya.

Rang Undang-Undang IPCMC 2019 dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 18 Julai, dan ia bertujuan menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) bagi meningkatkan integriti dan keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagaimanapun, bacaan kali kedua dan ketiga bagi RUU IPCMC di Dewan Rakyat ditangguhkan dengan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memperincikan beberapa pindaan yang dicadangkan bagi tujuan penambahbaikan.– HARAKAHDAILY 18/3/2020